Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berharap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberi pertimbangan sewajarnya masalah yang dihadapi oleh sebahagian dari 84 keluarga yang mengusahakan tanaman di tanah lapang di Pintasan Kelicap, Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas di sini.
Berikutan notis MBPP mengarahkan mereka mengalihkan tanaman dan struktur tanpa kebenaran di atas bahu jalan, CAP turut menggesa supaya arahan tersebut ditarik balik dan dibatalkan untuk kebaikan bersama.
CAP yang menerima aduan dari penduduk-penduduk yang terlibat telah menghantar surat resmi kepada Datuk Bandar dan Pengarah Lanskap MBPP pada 1 November 2021 lalu menyatakan simpati CAP kepada mereka yang menjalankan aktiviti tersebut sejak lebih 20 tahun yang lalu dan kini terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.
Tinjauan CAP mendapati terdapat lebih kurang 10 jenis tanaman sara diri ditanam di kawasan lapang berhadapan kediaman penduduk-penduduk di sini. Antara pokok-pokok yang terdapat di kawasan itu ialah kelapa, mempelam, jambu, tanaman herba termasuk pokok pandan dan serai.
CAP difahamkan, aktiviti pertanian di sini bukan saja bagi menampung keperluan makanan keluarga terbabit tetapi juga sebagai zon penampan untuk mencegah kesan pencemaran habuk, asap hitam (karbon monoksida) dan bunyi bising oleh kenderaan yang lalu-lalang di jalan berhampiran.
CAP menyokong aktiviti pertanian yang dilakukan oleh penduduk-penduduk di sini kerana ia memberikan kesan baik kepada kehidupan mereka serta alam sekitar di kawasan itu. Malah usaha ini juga sebagai menjayakan slogan kerajaan negeri iaitu Pulau Pinang, Hijau dan Bersih dan projek pertanian bandar yang dilancarkan oleh kerajaan persekutuan.
CAP berpendapat, bimbingan dan kerjasama perlu dilaksanakan secara berterusan antara penduduk, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerajaan negeri dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti CAP bagi mencapai matlamat tersebut.
Kenyataan Media, 8 November 2021