Notifikasi produk untuk Airee Beautycare Night Cream dan BL Ledehh Day Cream 1 dibatalkan kerana didapati mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan berkata Airee Beautycare Night Cream didapati mengandungi merkuri, manakala BL Ledehh Day Cream 1 mengandungi hidrokuinon dan tretinoin.
Beliau berkata, merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana ia boleh membahayakan kesihatan, menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf serta boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak kecil atau janin, selain menyebabkan ruam dan kerengsaan kulit.
“Produk yang mengandungi hidrokuinon dan tretinoin perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan,” katanya.
Dr Muhammad Radzi berkata hidrokuinon antara lain boleh menyebabkan kemerahan, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, hipersensitiviti kulit, mencegah pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada sinaran ultraungu (UV) berbahaya, dan meningkatkan risiko kanser kulit.
Beliau berkata penggunaan tretinoin tanpa pengawasan juga boleh menyebabkan kemerahan, ketidakselesaan, pedih, pengelupasan, dan hipersensitiviti pada kulit.
Orang ramai yang menggunakan produk tersebut juga dinasihatkan supaya berhenti menggunakannya dengan serta-merta dan dapatkan nasihat pakar kesihatan sekiranya mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan buruk.
Status pemberitahuan produk kosmetik boleh disemak di laman sesawang NPRA di:
Sumber: Bernama (10 Julai 2023)