Kenaikan Mendadak Harga Bawang

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat bimbang dengan kenaikan harga bawang yang dijual di pasaran Pulau Pinang.

Tinjauan pasaran CAP yang dijalankan di Pulau Pinang menunjukkan harga bawang yang diimport dari India meningkat kepada RM9.00 sekilogram. Semasa perayaan Krismas, harga bawang dikawal pada RM5.00 sekilogram dan telah meningkat hampir 100% dalam tempoh kira-kira dua minggu.

Pemborong mendakwa bahawa masalah itu bermula apabila bekalan dari India berhenti. Mereka juga menambah bahawa daripada guni 10kg bawang import, hanya 60% boleh dijual manakala 40% lagi rosak dan busuk.

CAP menggesa FAMA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) supaya menjalankan siasatan segera ke atas kenaikan harga bawang yang terlalu tinggi, sama ada kenaikan itu wajar, dan juga untuk menyemak kualiti bawang itu.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 8 Januari 2024