Kenaikan Mendadak Harga Kelapa

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin dengan kenaikan mendadak harga kelapa yang dijual di pasaran Pulau Pinang.

Tinjauan pasaran oleh CAP yang dijalankan di Pulau Pinang menunjukkan harga kelapa secara perlahan-lahan meningkat daripada RM2.00 kepada RM2.50, dengan kelapa bersaiz lebih besar mencecah RM3.30 sebiji.

Kenaikan harga kelapa juga menyebabkan harga santan meningkat daripada RM12.00 kepada RM14.00 malah kepada RM15.00 sekilogram, malah harga kelapa parut meningkat daripada RM8.00 kepada RM11.00 sekilogram.

Peniaga mendakwa masalah itu bermula apabila bekalan dari negara lain terhenti. Mereka juga melaporkan bahawa banyak kedai runcit dan pasar awam bergelut untuk mendapatkan bekalan sejak dua minggu lalu, ini menimbulkan kebimbangan mengenai potensi berlakunya kekurangan kelapa pada masa hadapan.

CAP menggesa agar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjalankan siasatan segera terhadap kenaikan harga dan kekurangan bekalan kelapa untuk menentukan sama ada kenaikan harga itu adalah wajar.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan  Akhbar, 23 Disember 2024