Kenapa tulisan tangan masih penting dalam era digital

Penyelidikan menunjukkan bahawa tindakan meletakkan pen di atas kertas mengaktifkan pelbagai kawasan otak, meningkatkan pengekalan memori dan fungsi kognitif. Gambar oleh oksana nazarchuk, Getty Images melalui National Geographic

Daripada menambah baik tumpuan kepada mengukuhkan laluan kognitif, tulisan tangan menawarkan manfaat neurologi yang tidak dapat ditiru oleh teknologi moden.

Fikirkan kembali kali terakhir anda mencatat nota ringkas atau membuat senarai barangan runcit. Kemungkinannya, ia bukan dengan pen dan kertas. Sepanjang dekad yang lalu, papan kekunci dan skrin secara senyap-senyap telah menggantikan tulisan tangan dalam rutin harian kita, daripada bilik darjah hinggalah kepada mesyuarat di pejabat. Sesetengah sekolah di seluruh dunia telah berhenti mengajar kursif (tulisan latin, huruf sambung, tulisan sambung, tulisan miring) sama sekali.

Namun, penyelidikan menunjukkan bahawa meletakkan pen di atas kertas menawarkan manfaat kognitif yang tidak dapat ditiru oleh alat digital.

Secara statistik kebanyakan kajian mengenai hubungan antara tulisan tangan dan ingatan [termasuk yang dijalankan di Jepun, Norway dan Amerika Syarikat] menunjukkan bahawa orang itu lebih baik mengingati perkara yang telah mereka tulis, secara manual dibandingkan dengan komputer,” kata Naomi Susan Baron, Profesor Emerita Linguistik di American University, Washington D.C. dan Pengarang Who Wrote This? How AI and the Lure of Efficiency Threaten Human Writing.

Daripada pengekalan memori yang bertambah baik kepada hasil pembelajaran yang dipertingkatkan, berikut ialah bagaimana cara mengekalkan seni tulisan tangan boleh memberi kesan yang ketara kepada bagaimana cara kita menyerap dan mengekalkan maklumat.

Apakah manfaat tulisan tangan

Faedah menulis dengan tangan sebahagiannya boleh dikaitkan dengan penglibatan pelbagai deria dalam proses penulisan.

“Memegang pen dengan jari kita, menekannya pada permukaan, dan menggerakkan tangan kita untuk mencipta huruf dan perkataan adalah kemahiran kognitif-motor yang kompleks yang memerlukan banyak perhatian kita,” kata Mellissa Prunty, Pembaca dalam terapi pekerjaan di Universiti Brunel London yang telah meneliti hubungan antara tulisan tangan dan pembelajaran. “Tahap pemprosesan yang lebih mendalam ini, yang melibatkan pemetaan bunyi kepada pembentukan huruf, telah ditunjukkan untuk menyokong bacaan dan ejaan pada kanak-kanak, kata Prunty.

Orang dewasa juga mendapat manfaat daripada sifat intensif kerja tulisan tangan. Kajian yang melibatkan 42 orang dewasa yang belajar bahasa Arab mendapati bahawa peserta yang mempelajari huruf dengan menulisnya dengan tangan lebih cepat mengenalinya, mempunyai masa yang lebih mudah menamakannya, dan lebih baik dalam membunyikan huruf yang baharu dipelajari berbanding dengan orang yang diminta untuk belajar huruf baharu dengan menaip atau hanya melihatnya.

“Kami berpendapat bahawa hasil kami boleh dijelaskan sebahagiannya dengan bagaimana cara tulisan tangan mengaktifkan laluan yang berbeza kepada konsep yang sama,” kata Robert Wiley, Profesor Psikologi di University of North Carolina Greensboro dan Pengarang bersama kajian itu. Beliau menjelaskan bahawa mempelajari perkataan baharu melibatkan menghubungkan simbol abstrak dengan maklumat mengenai tahap visual, motor dan pendengaran. “Tulisan tangan boleh mengaktifkan lebih banyak hubungan merentas dimensi berbeza ini berbanding dengan menaip,” katanya.

Melalui tinjauan dengan 205 orang dewasa muda di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, Baron mendapati bahawa ramai pelajar melaporkan lebih fokus, tumpuan yang lebih mantap dan ingatan yang lebih baik apabila menghasilkan teks dengan memegang alat tulis dan bukannya menekan kekunci pada papan kekunci, menunjukkan bahawa deria sentuhan kita memainkan peranan penting dalam cara kita menyerap maklumat.

Hakikat bahawa melibatkan deria kita boleh menjadikan kita pelajar yang lebih baik boleh menjadi berlawanan dengan intuisi, tetapi aktiviti seperti sentuhan dan gerakan mengaktifkan kawasan otak yang sama yang turut terlibat dengan pembelajaran dan hafalan, kata Lisa Aziz-Zadeh, Profesor di Brain and Creativity Institute, University of Southern California. “Otak manusia berkembang untuk memproses maklumat deria dan motor melalui evolusi,” katanya, “kawasan otak pemprosesan deria dan motor yang sama kini terlibat dalam kognisi yang lebih tinggi.”

Manfaat tulisan tangan berbanding menaip

Untuk lebih memahami bagaimana deria kita mempengaruhi kognisi kita, kita boleh memikirkan otak kita sebagai sistem jalan, kata Audrey van der Meer, Profesor neuropsikologi di Universiti Sains dan Teknologi Norway. Rangkaian otak pada kanak-kanak adalah seperti laluan samar dan berliku di dalam hutan, katanya. Dengan amalan dan pengalaman, laluan ini boleh menjadi lebuh raya yang menghubungkan bahagian otak yang berlainan untuk mengangkut maklumat dengan pantas dan cekap.

Dalam kajian yang diterbitkan Januari lalu, van der Meer dan Pengarang bersamanya Ruud van der Weel melihat imbasan otak 36 orang dewasa muda yang mendaftar di universiti yang melakukan tugas menulis. Pelajar diminta menulis perkataan bergambar menggunakan pen digital pada peranti skrin sentuh atau menaipnya pada papan kekunci. Aktiviti otak peserta semasa setiap tugasan telah ditangkap melalui electroencephalogram (EEG)

“Perkara yang paling mengejutkan ialah seluruh otak aktif apabila mereka menulis dengan tangan, [sementara] kawasan yang lebih kecil aktif semasa mereka menaip,” kata van der Meer. “Ini menunjukkan bahawa apabila anda menulis dengan tangan anda menggunakan sebahagian besar otak anda untuk menyelesaikan kerja.”

Selain itu, kajian itu melaporkan bahawa bahagian otak yang berbeza diaktifkan dengan tulisan tangan berkomunikasi antara satu sama lain melalui gelombang otak yang berkaitan dengan pembelajaran. “Terdapat seluruh badan penyelidikan yang bercakap mengenai ayunan alfa dan theta dalam otak yang bermanfaat untuk belajar dan mengingat,” kata van der Meer. “Kami mendapati ayunan itu aktif semasa tulisan tangan tetapi tidak semasa menaip.”

Hasilnya, penyelidik menggalakkan ketekunan kemahiran menulis tangan. Di Norway, banyak sekolah berhenti mengajar tulisan kursif, sebaliknya memilih murid untuk menulis dan membaca pada iPad, trend yang van der Meer berharap untuk berubah melalui penyelidikannya.

“Saya fikir kita harus mempunyai sekurang-kurangnya tulisan tangan dalam kurikulum sekolah rendah kerana ia sangat baik untuk otak yang sedang berkembang,” katanya.

Di Amerika Syarikat (AS), kursif telah dialih keluar daripada Standard Teras Biasa, tetapi beberapa negeri memutuskan untuk memasukkannya semula ke dalam kurikulum sekolah kerana manfaatnya untuk pembelajaran.

Bagi orang dewasa, van der Meer menasihatkan orang dewasa juga untuk menggunakan pen dan kertas. “Menyimpan beberapa amalan tulisan tangan adalah latihan yang sangat baik untuk otak,” katanya. “Ia adalah sama dengan melakukan kerja penyelenggaraan di jalan yang sibuk.”

Sumber: National Geographic (10 Oktober 2024)