Bersempena Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia yang masih belum menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang telah diwartakan pada 20 September 2022 supaya segera berbuat demikian.
Sehingga hari ini, pindaan kepada Akta Perhutanan Negara 1984 telah hanya berkuat kuasa di Perlis pada 01 April 2023 dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 01 Februari 2025.
Salah satu daripada pindaan paling penting kepada Akta ini ialah pengenalan seksyen 11 baharu, menggantikan yang lama berhubung dengan pengeluaran status hutan simpanan kekal (HSK). Pindaan baru ini membenarkan pengeluaran sedemikian berlaku tertakluk kepada pengendalian siasatan awam, mengikut peraturan yang akan dirangka kemudian oleh kerajaan negeri. Ini adalah peruntukan yang sangat penting, yang kini hanya wujud dalam Enakmen Perhutanan Selangor 1985. Peruntukan sedemikian untuk siasatan awam sebelum sebarang penyahwartaan HSK akan memastikan ketelusan, dan akauntabiliti di pihak kerajaan negeri dan penting untuk memastikan tadbir urus yang baik. Selain daripada pindaan ini, lain-lain pindaan termasuk memasukkan ‘hutan taman negeri’ sebagai kategori tambahan dalam klasifikasi HSK, dan peningkatan penalti bagi kesalahan untuk menghalang bakal-bakal pelanggar.
Tujuan pindaan-pindaan ini adalah untuk memperketatkan proses pewartaan keluar/penyahwartaan dan penggantian serentak HSK melalui siasatan awam. Mana-mana HSK yang dinyahwartakan mesti diganti secara serentak dengan keluasan tanah yang sama atau lebih besar di bawah Seksyen 12 Akta 1984. Jika negeri tidak menerima pakai pindaan ini dengan serta-merta, eksploitasi sumber hutan akan terus berlaku yang boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara lestari yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.
Pindaan ini mesti diterima pakai dengan segera dalam enakmen hutan negeri masing-masing untuk memastikan pelaksanaan yang seragam dalam tadbir urus dan pengurusan hutan. Peraturan mengenai pengendalian siasatan awam juga mesti disediakan dengan cepat dan dikongsi dengan orang ramai untuk ulasan dan maklum balas sebelum ia diluluskan dan dilaksanakan.
Selain daripada penerimaan pakai pindaan-pindaan ini, apa yang paling penting ialah berapa banyak daripada HSK yang akan diwartakan selanjutnya sebagai hutan perlindungan atau pemuliharaan di Semenanjung Malaysia. Dakwaan yang sering diulang-ulang oleh kerajaan Malaysia bahawa 55 peratus daripada kawasan tanah negara masih di bawah litupan hutan harus dinyatakan dengan data sebenar iaitu berapa banyak daripada jumlah tersebut adalah sebenarnya hutan perlindungan atau pemuliharaan. Berdasarkan data yang diterbitkan dalam Kompendium Perangkaan Alam Sekitar 2018 dan di mana data ini dianalisa oleh SAM, 50 peratus daripada litupan hutan atau 27 peratus daripada kawasan tanah negara adalah hutan simpanan kekal yang diklasifikasikan sebagai hutan pengeluaran, terutamanya untuk pembalakan dengan sebahagian besar bagi ladang monokultur. Hanya 29 peratus daripada litupan hutan kita atau 16 peratus daripada kawasan tanah negara kita adalah hutan perlindungan atau pemuliharaan. Oleh itu, SAM berharap, sempena Hari Hutan Antarabangsa tahun ini, kerajaan-kerajaan negeri akan segera mengambil langkah bukan sahaja untuk menerima pakai pindaan Akta 2022 tetapi juga untuk melaksanakan pewartaan PRF sebagai kawasan perlindungan atau pemuliharaan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984. Ini akan meningkatkan lagi kawasan perlindungan dan pemuliharaan di bawah litupan hutan kita.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia
Surat kepada Pengarang, 21 Mac 2025