MASALAH AIR SEMAKIN KRITIKAL

Penyusutan air di empangan menjejaskan bekalan air untuk pengguna dan sektor pertanian.

Sempena Hari Air Sedunia 2025, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap masalah air yang semakin kritikal dihadapi oleh para pengguna di negara ini terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Tinjauan CAP mendapati, selain bekalan air paip untuk kegunaan harian yang kerap mengalami gangguan dan tercemar, sektor pertanian terutama para petani merupakan golongan paling terkesan menghadapi masalah bekalan air dalam usaha mereka untuk mengairi tanaman padi.

Antara kawasan sawah yang terlibat termasuklah jelapang padi negara iaitu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis, Projek Pembangunan Pertanian Kerian/Sungai Manik di Perak, dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan.

Sawah di jelapang padi kering kontang akibat masalah bekalan air. (Gambar: majoriti.com.my)

Masyarakat Orang Asli seperti di daerah Gua Musang, Kelantan dan penduduk-penduduk di pedalaman juga merungut tentang perkara ini kerana sumber air bukit kegunaan harian menjadi kotor atau berkelodak akibat penerokaan hutan terutamanya aktiviti pembalakan serta perladangan berhampiran kampung mereka.

Penyusutan paras air di kebanyakan empangan di negara ini kerap berlaku terutama pada musim kemarau, manakala sungai-sungai semula jadi yang menjadi sumber bekalan air serta ekonomi penduduk luar bandar sejak turun temurun telah dicemari oleh berbagai sisa buangan termasuk bahan toksik dan tidak berfungsi lagi.

CAP berharap kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat mengambil tindakan tegas dengan menguatkuasakan undang-undang berkaitan bagi mengekalkan dan menguruskan sumber bekalan air secara sistematik di samping mengatasi punca-punca yang menyebabkan masalah ini berlaku dengan berkesan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini para pengguna, petani serta masyarakat Orang Asli telah membantah dan merayu kepada pihak kerajaan supaya masalah bekalan air yang mereka hadapi ditangani segera namun isu ini masih berlarutan hingga sekarang.

Pembuangan sampah turut menyumbang kepada masalah pencemaran sumber air di negara ini.

CAP bimbang jika keadaan ini berterusan ia akan memberi kesan lebih buruk ke atas sektor pertanian sekali gus menjejaskan hasil pendapatan petani dan bekalan makanan untuk rakyat pada masa akan datang.

Justeru itu CAP menggesa agar kerajaan memberi perhatian khusus kepada punca kemerosotan kualiti alam sekitar dengan mengawal dan memulihkan kawasan tadahan air yang terjejas, memastikan bekalan air kita dilindungi, mengatasi masalah pencemaran sungai serta menyelamatkan sumber air semula jadi dari sebarang bentuk ancaman.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 22 Mac 2025