Kerajaan negeri tidak seharusnya mensia-siakan pindaan kepada Akta Perhutanan Negara 1984

Bulan Ogos dan September adalah bulan yang begitu bermakna untuk Malaysia, di mana kita memperingati penubuhan Malaysia dan kelahiran Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang tertinggi negara ini menjamin hak setiap rakyat, melindungi kepentingan awam, menjunjung keadilan dan mengurus perintah negara untuk memastikan kesejahteraan rakyat jelata, anggota-anggota persekutuan dan negeri-negeri.

Oleh itu tatkala Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa urusan tanah dan hutan berada di dalam bidangkuasa negeri-negeri, ia juga telah memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang yang berada di dalam bidangkuasa negeri-negeri di bawah tiga buah syarat melalui artikel 76. Salah satu syarat ini memiliki tujuan untuk menggalakkan keseragaman undang-undang.

Di atas prinsip keseragaman inilah, Akta Perhutanan Negara 1984 (APK 1984) telah digubal oleh Parlimen untuk pemakaian negeri-negeri semenanjung. Undang-undang persekutuan ini kemudiannya telah digubal semula sebagai enakmen negeri individu dan diluluskan di dewan undangan negeri masing-masing.

Pada tahun 2022, sejumlah pindaan terhadap APK 1984 yang penting telah diluluskan di Parlimen bagi memperkenalkan pelbagai peruntukan baru yang positif. Antara lain, seksyen 7 dan 8  APK (Pindaan) 2022 ini memperuntukkan agar seksyen 11 dan 12 APK 1984 dipinda untuk memperketatkan proses penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Seksyen 11 yang baru ini mewajibkan proses penyertaan awam dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang penyahwartaan HSK diteruskan. Seksyen 12 pula mewajibkan penggantian serentak HSK yang mahu dinyahwarta, dengan pewartaan kawasan HSK yang  baru dengan keluasan yang sama atau lebih besar lagi.

Makanya, tentu sekali pindaan tahun 2022 ke atas APK 1984 ini telah disambut baik oleh banyak pihak, termasuklah SAM sendiri. Ia dilihat sebagai usaha menambah baik dan memantapkan pengurusan HSK serta penguatkuasaan undang-undang perhutanan.

Namun begitu, pada hari ini kami berasa amat kecewa sekali setelah mengetahui daripada laporan media bahawa empat buah kerajaan negeri, yakni Kelantan, Perak, Negeri Sembilan, dan yang terbaru Pahang pada 27 Ogos lalu, telah memutuskan untuk tidak menerima pakai dua buah seksyen ini [seksyen 11 dan 12], sedangkan pindaan-pindaan lain boleh sahaja diterimapakai oleh mereka.

Keengganan ini sepertinya mengambil mudah semangat keseragaman artikel 74 Perlembagaan Persekutuan dan niat baik pindaan-pindaan ini. Pindaan-pindaan ini sendiri tentunya telah dicetuskan oleh syor-syor dari pelbagai pihak pemegang taruh selama ini. Perundingan untuk membincangkan pindaan-pindaan ini di peringkat Majlis Perhutanan Negara dan Majlis Tanah Negara juga tentunya telah memakan begitu banyak masa dan sumber.

Oleh itu, janganlah negeri-negeri mensia-siakan perkembangan perundangan yang penting dan positif seperti ini. Ini seperti satu pembaziran peluang, wang, sumber dan masa pelbagai pihak. Malah, bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, juga telah pun meminta semua negeri-negeri untuk memberi sokongan dengan menerimapakai keseluruhan pindaan di negeri masing-masing.

Kedua-dua seksyen ini diperkenalkan untuk mengelakkan sumber hutan dieksploitasi dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira kepentingan umum, hak komuniti dan fungsi biologi dan ekosistem sesuatu kawasan HSK yang dicadangkan untuk penyahwartaan. Ia menggalakkan pihak awam dan komuniti terjejas dibawa berunding terlebih dahulu untuk melindungi hak dan kepentingan masing-masing dan mempertingkatkan ketelusan urus perintah setiap negeri.

Apakah motif di sebalik keengganan Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang untuk tidak mengambil langkah yang lebih baik di dalam pengurusan HSK yang telah dirintis oleh kerajaan persekutuan dan disambut baik oleh pihak awam?

Jika tiada udang di sebalik batu, penyertaan awam dan perlindungan keluasan HSK bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti oleh negeri-negeri. Mereka perlu memberikan jawapan yang munasabah tentang hal ini kepada rakyat mereka dan pihak awam.

Kita tidak boleh berhadapan dengan keadaan di mana rakyat di negara ini dilayan secara tidak adil, di mana negeri-negeri yang telah menolak pindaan-pindaan ini kini boleh menafikan hak rakyat mereka untuk dibawa berunding, namun hak rakyat yang sama tetap terlindung di negeri-negeri yang telah menerimapakai pindaan-pindaan ini secara menyeluruh. Perkara seperti ini adalah tidak adil dan tidak saksama.

Pahang telah menegaskan bahawa ia mengambil keputusan sedemikian kerana tanah dan hutan berada di bawah bidangkuasa negeri-negeri. Tetapi ini bukanlah jawapan yang munasabah. Isu ini tiada kena mengena dengan persoalan bidangkuasa.

Apabila sebuah perkembangan perundangan yang positif yang diterajui oleh peringkat persekutuan ditolak begitu sahaja oleh negeri-negeri, ia seperti negeri-negeri terbabit tidak mahu menggalakkan penyertaan awam, ketelusan pentadbiran, perlindungan keluasan HSK dan perlindungan hak dan kesejahteraan rakyat jelata. Penolakan ini akan meneruskan amalan-amalan lazim yang sebetulnya wajib diperbetulkan.

Janganlah kita masih di takuk yang lama – masih lagi berhujah tentang soal bidangkuasa tatkala kerajaan persekutuan telah pun membuat pelbagai komitmen antarabangsa yang penting tentang perubahan iklim dan perlindungan dan konservasi biodiversiti. Negeri-negeri wajib membantu pelaksanaan segala komitmen antarabangsa ini, yang kini menjadi jauh lebih penting, apabila kita mengambil kira tentang apa yang sudah kita saksikan berkenaan kesan-kesan perubahan iklim, dengan kenaikan suhu, kebakaran hutan besar yang menjejaskan kita semua dan terbaru sekali, tragedi limpahan tasik glasier di Nepal.

Makanya itu, kerajaan persekutuan perlu menggunakan kaedah-kaedah yang lebih berkesan untuk memastikan pematuhan negeri-negeri kepada objektif nasional. Antara lain, kerajaan persekutuan perlu memperketatkan proses pemberian dana seperti Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada negeri-negeri untuk memastikan mereka tidak mengambil tindakan-tindakan yang bertentangan dengan perlindungan hutan. Peruntukan EFT kepada Pahang sahaja dilaporkan telah meningkat sebanyak RM25 juta pada tahun ini. Negeri-negeri yang tidak menyokong usaha di peringkat kebangsaan sebenarnya tidak wajar lagi dianugerahkan geran-geran seperti ini.

Kami menyeru agar empat buah negeri ini untuk tidak terus berdegil dan mengambil arah yang bertentangan dan untuk mengambil keputusan yang betul. Hormatilah semangat keseragaman artikel 74 Perlembagaan Persekutuan dan janganlah berasa gusar tentang galakan proses penyertaan awam dan usaha memperketatkan perlindungan terhadap HSK di negeri masing-masing. Akhirnya, tindakan melindungi hutan adalah tindakan melindungi rakyat jelata juga.

 

Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia

Surat kepada Pengarang, 7 September 2026