
Kerajaan perlu campur tangan dalam memastikan institusi perbankan di negara ini menghapus kadar caj transaksi RM1 bagi pengeluaran wang tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, caj dikenakan memberi kesan tidak seimbang terhadap golongan yang mempunyai sumber kewangan terhad kerana mereka terpaksa menguruskan perbelanjaan dengan berhati-hati.
Menurutnya, dengan membuat pengeluaran kecil secara berulang sepanjang bulan ia akan meningkatkan kos pengguna lain khususnya kepada pekerja berpendapatan rendah yang sudah bergelut dengan peningkatan kos sara hidup pada masa ini.
“Bagi individu seperti ini, caj RM1 mewakili peratusan jauh lebih tinggi daripada setiap pengeluaran berbanding mereka yang mengeluarkan jumlah lebih besar.
“Dasar regresif ini membebankan golongan yang paling terdedah dalam masyarakat secara tidak adil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Mohideen berkata,walaupun keuntungan dimaksudkan untuk menampung kos operasi namun caj RM1 yang seragam bagi setiap transaksi menyebabkan beban tidak seimbang.
Sebagai contoh, katanya, seseorang yang mengeluarkan RM10 perlu membayar 10 peratus daripada jumlah itu sebagai caj, sebaliknya seseorang yang mengeluarkan RM1,000 hanya membayar 0.1 peratus.
“Ketidaksamaan ini menonjolkan sifat regresif struktur caj semasa.
“Sistem yang lebih adil diperlukan untuk memastikan keadilan terutamanya bagi mereka yang membuat pengeluaran kecil,” katanya lagi.
Beliau berkata, salah satu penyelesaian yang berpotensi adalah dengan memansuhkan caj untuk transaksi nilai kecil selain beberapa pendekatan lain yang boleh dipertimbangkan untuk menangani isu ini secara adil.
Katanya, transaksi di bawah RM50 boleh dikenakan caj 10 sen, manakala transaksi antara RM50 dan RM500 mungkin dikenakan caj 50 sen. Transaksi melebihi RM500 kekal dengan caj RM1.
“Sekiranya kadar caj ini dapat dimansuhkan ia akan menggalakkan lebih banyak penggunaan transaksi digital dan tanpa tunai terutaman dalam kalangan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.
“Memansuhkan caj ini akan meningkatkan kepercayaan orang ramai dengan menunjukkan komitmen terhadap keadilan dan kesaksamaan sosial. Ia sekali gus memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap Bank Negara Malaysia (BNM) dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) yang secara eksklusif menguruskan rangkaian pembayaran negara serta infrastruktur pusat bersama untuk pasaran kewangan Malaysia.
“Penting untuk diperhatikan bahawa BNM adalah pemegang saham terbesar PayNet bersama sebelas institusi kewangan Malaysia lain seperti yang dinyatakan di laman web syarikat tersebut, tetapi PayNet yang mengenakan caj RM1 untuk pengeluaran ATM di luar rangkaian,” ujarnya.
Berkenaan pemilikan PayNet oleh BNM, beliau berkata, ini memastikan sistem pembayaran yang kritikal tetap stabil, selamat dan selaras dengan matlamat ekonomi negara. Pengawasan ini menghalang pemprivatisasian berlebihan yang boleh menyebabkan amalan mengeksploitasi.
“Bagaimanapun, caj RM1 untuk transaksi interbank mesti dikaji semula untuk mengurangkan impaknya terhadap golongan B40 dan M40 kerana golongan ini sering hidup dari bulan ke bulan, dengan sedikit atau tiada simpanan.
“Kebajikan rakyat mesti kekal sebagai keutamaan utama untuk kerajaan namun penting untuk diakui bahawa memansuhkan caj ini mungkin menyebabkan kos operasi dipulihkan melalui mekanisme lain.
“Sebarang sistem pengganti mesti direka dengan teliti untuk mengelakkan beban kembali kepada golongan yang terdedah,” tambahnya.
Sumber: Sinar Harian (11 Januari 2025)