Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk mengotakan janjinya dengan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan Generasi Penamat (GEG).
RUU bersama peruntukan GEG ini perlu dibentangkan dan diluluskan dengan segera bagi mengatasi isu ketiadaan kawalan undang-undang terhadap produk rokok elektronik atau vape selepas pengecualian nikotin daripada Akta Racun 1952 pada 1 April 2023 yang lepas.
Ketiadaan undang-undang yang jelas dan komprehensif bagi mengawal selia pengiklanan, promosi, pembungkusan, penjualan dan penggunaan produk ini mendedahkan risiko yang serius kepada kesihatan awam, terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak.
Penggunaan produk rokok elektronik atau vape dengan pelbagai perisa yang menarik dan taktik pemasaran ‘kotor’ oleh pemain industri telah menarik minat generasi muda untuk mencuba dan menggunakan rokok elektronik atau vape, yang membawa risiko ketagihan dan kesan jangka panjang terhadap kesihatan mereka.
CAP ingin mengingatkan kerajaan mengenai janji Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim pada 4 April 2023 yang lepas di dalam sidang Dewan Rakyat di mana beliau telah berjanji untuk membentangkan RUU Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan GEG pada sidang Parlimen Mei ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah berulang kali menyatakan pendirian untuk membentangkan RUU bersama peruntukan GEG melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Kesihatan.
Oleh sebab itu, CAP menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan komitmen tersebut dengan membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan GEG di Parlimen untuk menangani isu yang mendesak ini.
Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok tidak seharusnya dijadikan isu politik. Masalah merokok adalah isu kesihatan yang perlu dipandang serius oleh semua Ahli Parlimen yang bertanggungjawab untuk melindungi masyarakat daripada ancaman bahaya produk merokok.
Dengan meluluskan RUU Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan GEG, Ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat dapat membuktikan komitmen mereka yang teguh untuk melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia, terutamanya golongan belia.
Justeru, kami dengan tegas mendesak kerajaan untuk mengutamakan kesihatan awam dengan memenuhi janji yang telah diberikan kepada rakyat dan membentangkan RUU Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan GEG dengan segera tanpa berlengah lagi.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 24 Mei 2023