Kerajaan Perlukan Rancangan Jangka Panjang Untuk Kekurangan Ayam Daripada Mengimport Ayam Sejuk Beku

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan pengumuman oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Tan Sri Noh Omar bahawa kementerian itu kini sedang berusaha untuk mengimport ayam sejuk beku bagi memastikan bekalan ayam yang mencukupi di negara ini.

Langkah sebegitu akan memusnahkan industri ternakan ayam tempatan jika sekiranya ayam import sememangnya lebih murah. Penternak ayam mungkin merasa lebih mencabar untuk kelangsungan hidup di bawah persekitaran sedemikian dan mereka mungkin terpaksa menghentikan operasi. Apabila ini berlaku, Malaysia akan menjadi terlalu bergantung kepada ayam sejuk beku yang diimport.

Kerajaan sepatutnya lebih fokus kepada cara untuk mengurangkan kos pengeluaran. Malah, terdapat banyak penyelidikan yang dijalankan oleh universiti tempatan kita mengenai makanan haiwan menggunakan sisa kelapa sawit selama bertahun-tahun.

Didakwa bahawa kos makanan mengambil kira-kira 70% daripada kos pengeluaran ayam dan telur. Jika demikian, maka kerajaan perlu beralih kepada ahli akademik dan pakar industri untuk mengenal pasti bagaimana mereka boleh menyumbang untuk menyelesaikan masalah ini.

Kerajaan negeri Selangor mengumumkan bahawa ia akan mengguna pakai kaedah baharu yang dikaji oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dua tahun lalu untuk menyediakan pengeluaran makanan haiwan alternatif. Ia dikatakan dapat menurunkan kos pengeluaran makanan ayam kepada 70 sen berbanding kos semasa RM1.70. Ini bermakna pengurangan kos kira-kira 60%. Kaedah pengeluaran makanan ternakan ini telah dilaksanakan di Kedah.

Adalah tidak masuk akal sama sekali mengapa kerajaan mesti mempertimbangkan untuk mengimport ayam sejuk beku sedangkan ia sepatutnya mengenal pasti dan membangunkan penyelesaian jangka panjang memandangkan negara kita amat memerlukan penambahbaikan jaminan keselamatan makanan.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 27 Julai 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/