Kit Ujian Kendiri Perlu Dapat Kelulusan

Penularan pantas varian Omicron telah menyebabkan permintaan untuk kit ujian kendiri Covid-19 melonjak. Permintaan tinggi seumpamanya telah mendorong sesetengah orang bertindak menjual kit ujian palsu atau tidak diluluskan. Justeru Persatuan Pengguna Pulau Pinang amat memandang berat perkara ini.

Dalam tinjauan terbaharu CAP ke atas farmasi, kedai serbaneka 7 Eleven, B Mart, kedai runcit dan stesen minyak, kami mendapati kit ujian kendiri Covid-19 itu dijual di tempat-tempat ini. Dengan penjualan yang meluas, kami ingin tahu sama ada ia mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Peralatan Perubatan (MDA).

Walaupun MDA telah mengenal pasti senarai 12 syarikat dan produk keluaran yang mendapat kelulusannya, pengguna mengalami kesulitan untuk mengesahkannya ketika membeli.

CAP menggesa kerajaan supaya membatasi penjualan kit ujian kendiri Covid-19 dengan mengehadnya kepada farmasi dan outlet runcit yang sah. Kemudahan membelinya di pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak akan menyulitkan kerja pemantauan oleh pihak MDA.

Selain itu apa yang turut membimbangkan ialah kemungkinan terdapat sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menjual kit ujian kendiri Covid-19 secara atas talian. Sudahkah Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengawal atau mengharamkan penjualan kit ujian kendiri atas talian?

Hasil ujian kit yang negatif dan palsu boleh membuatkan seseorang itu leka yang sebaliknya membantu penularan virus tersebut dan tidak berpeluang mendapatkan rawatan perubatan di peringkat awal.

Bagi memudahkan pengguna mengenal pasti peralatan yang diluluskan oleh MDA, kenapa ia tidak cuba mencipta logo umum yang digabungkan dengan kod QR yang mudah dikenali pengguna? Dan sekiranya mereka mahu, mereka boleh mengimbas kod QR itu bagi mendapatkan butir-butir produk berkenaan? Sistem semasa yang membawa nombor siri MDA tidak begitu membantu kerana ia mengambil masa untuk memeriksa bungkusan untuknya berbanding dengan logo yang jelas dapat dilihat.

 

Kenyataan Akhbar, 24hb. Februari 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/