Kita Mempunyai Tanggungjawab Kolektif Untuk Memastikan Keamanan & Kemampanan

Hari ini (5hb April) merupakan Hari Hati Nurani Antarabangsa, iaitu hari untuk memperingatkan kita tentang kesan mendalam kesedaran etika dan tanggungjawab moral terhadap keamanan dan keharmonian global. Ia adalah hari untuk kita merenung tentang kepentingan hati nurani dalam membentuk masyarakat yang lebih penyayang dan adil.

Hati nurani ialah pandangan moral yang membimbing tingkah laku atau niat kita dengan perasaan atau kewajipan untuk perbuatan yang betul atau menjadi baik. Mempunyai hati nurani adalah mempunyai kesedaran sama ada tindakan kita itu betul atau salah. Maka, hari yang penting ini juga merupakan peluang untuk individu, komuniti, organisasi dan syarikat untuk menilai dan memikirkan semula tindakan dan keputusan mereka yang boleh membawa perubahan kepada dunia.

Hari ini, marilah kita mendapat inspirasi untuk mengambil langkah yang bermakna untuk hidup dengan betul, bertindak dengan empati dan menegakkan nilai-nilai yang menyumbang kepada kebaikan bagi semua. Pembuat dasar harus mengutamakan kepimpinan yang beretika, perniagaan harus mengamalkan amalan yang selamat, bertindak secara beretika dan bertanggungjawab kepada sosial dan alam sekitar; masyarakat sivil boleh mendidik dan meningkatkan kesedaran, manakala individu boleh melibatkan diri dalam perbuatan yang baik.

Bertindak untuk Kemanusiaan. Mempunyai hati nurani adalah penting dalam mewujudkan keadilan dan membina dunia yang adil. Ini seiring dengan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asasi untuk semua tanpa mengira bangsa, jantina, bahasa atau agama. Pemimpin negara boleh merenung kompas moral mereka dan membangkitkan sisi kemanusiaan paling dalam demi menghentikan pencabulan hak asasi manusia dan melindungi maruah mangsa di negara-negara yang dilanda perang dan konflik. Untuk mencapai kestabilan, kesejahteraan dan hubungan mesra, terlebih dahulu mesti ada hasrat yang mendalam untuk mengamalkan kebaikan dan menunjukkan belas kasihan kepada manusia. Ini mesti diikuti dengan tadbir urus yang baik.

Memupuk Toleransi. Untuk menggalakkan keamanan dan keharmonian, adalah penting bagi setiap orang untuk merasakan keperluan untuk memupuk kesedaran tentang pelbagai budaya, agama dan kepercayaan, dan mengetahui kepentingan toleransi. Hanya dengan itu kita boleh berkongsi rasa persefahaman dan kerjasama serta membina dunia yang lebih baik dan bermakna untuk diri sendiri dan orang lain.

Lindungi Kesihatan Awam. Hapuskan amalan industri yang tidak bertanggungjawab. Mengeksport sisa plastik ke negara membangun (Selatan) oleh negara maju (Utara), sebagai contoh, adalah tidak beretika dan tidak harus diteruskan. Ia membebankan alam sekitar dan kesihatan awam di negara-negara Selatan, sementara membenarkan negara-negara Utara mengelak daripada menangani sisa mereka sendiri. Perlu ada integriti dalam pembuatan keputusan oleh pihak korporat dan ini hanya boleh dilakukan dengan saling menghormati serta hati nurani untuk tidak menimbulkan keburukan kepada orang lain.

Selamatkan Alam Sekitar. Dianggarkan sebanyak 42 juta pokok ditebang setiap hari, yang berjumlah 15 bilion pokok setiap tahun. Dengan mengurangkan penggunaan kertas, memilih produk kayu kitar semula atau dihasilkan secara bertanggungjawab, serta menyokong usaha penanaman dan pemuliharaan pokok, kita semua boleh menjadi sebahagian daripada gerakan untuk melindungi dan menjaga hutan.

Bersikap Baik Kepada Haiwan. Banyak haiwan mengalami pengabaian, penderaan dan eksploitasi di tangan manusia. Marilah kita melayan haiwan dengan hormat dan belas kasihan. Seperti manusia, mereka adalah makhluk yang mampu merasakan kesakitan, ketakutan, kegembiraan dan kasih sayang. Jangan lupa bahawa haiwan adalah sebahagian penting dunia ini, yang menyumbang kepada keseimbangan dan biodiversitinya.

Bantu mereka yang kurang bernasib baik. Bersikap baik kepada orang lain mewujudkan dunia yang lebih bahagia dan lebih penyayang. Pengarang Rusia Leo Tolstoy, yang terkenal dengan novel War and Peace (Perang dan Keamanan) pernah berkata, “Jika anda berasa sakit, anda masih hidup. Jika anda merasakan kesakitan orang lain, anda adalah manusia.”

Kita mempunyai perjalanan kolektif ke arah dunia yang harmoni dan mampan, dan setiap langkah kecil membawa perubahan. Mari kita lakar inspirasi untuk perubahan positif dari masa lalu dan berusaha untuk bertindak dan hidup dengan lebih berhemah. Biarkan setiap pemikiran dan tindakan kita selaras dengan belas kasihan, kebaikan dan kasih sayang.

Hari ini dan setiap hari, marilah kita komited untuk menggalakkan toleransi yang lebih besar, persefahaman dan dialog demi menegakkan hak asasi manusia dan keadilan, serta memupuk keamanan dunia. Bersama-sama, melalui hati nurani kolektif, kita boleh memperbaiki diri, masyarakat dan dunia, untuk membina masa depan yang lebih mampan untuk generasi akan datang.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 5 April 2025