
Persatuan hak pengguna yang berpengaruh menggesa mahkamah mengharamkan penjualan air botol Perrier di Perancis, dengan mengatakan bahawa dakwaan jenama itu bahawa produknya “semula jadi” adalah mengelirukan.
UFC-Que Choisir, yang mengemukakan permintaannya kepada mahkamah di Nanterre dekat Paris, berkata jenama Perrier milik Nestle perlu diharamkan buat sementara waktu daripada menjual air minuman itu dan diarahkan menghentikan perihalan “tidak jujur” mengenai air itu.
“Pengguna membeli air yang dijual itu sebagai air mineral semula jadi tetapi ia bukan semula jadi kerana ia telah dirawat,” kata Peguam Persatuan itu Alexis Macchetto kepada AFP.
Pada awal 2024, media melaporkan bahawa Nestle Waters yang juga memiliki jenama Vittel dan Contrex telah menggunakan proses yang diharamkan untuk meningkatkan kualitinya, termasuk rawatan ultraungu dan penapis karbon diaktifkan.
Rawatan seperti itu adalah bertentangan dengan undang-undang Perancis dan Eropah yang menyatakan bahawa air mineral semula jadi tidak boleh menjalani sebarang proses yang mengubah keadaan asalnya.
Nestle Waters memberitahu AFP bahawa ia akan menentang aduan UFC, sambil menambah ia sentiasa “beroperasi di bawah kawalan rasmi”.
Tetapi UFC berhujah bahawa perubahan air itu membawa risiko kesihatan. “Jika tiada apa yang dilakukan, seseorang itu boleh jatuh sakit”, kata Macchetto.
Perrier diperolehi daripada mata air di selatan Perancis.
Pencemaran oleh bakteria daripada bahan najis telah ditemui beberapa kali di telaga yang membekalkan Perrier, terutamanya selepas hujan lebat.
Nestle Waters berhujah bahawa kejadian seperti itu jarang berlaku, dan ia tidak lagi menggunakan telaga yang terjejas.
Tetapi Macchetto berkata keputusan Nestle baru-baru ini untuk menggantikan penapis 0.2 mikrometernya dengan penapis 0.45 mikrometer meningkatkan risiko pengguna kerana perubahan itu menjadikan penapisan “jelas kurang cekap”.
Kontroversi itu bertukar menjadi isu politik awal tahun ini, apabila siasatan oleh dewan atasan Parlimen Perancis mendapati bahawa kerajaan “di peringkat tertinggi” telah menutup skandal berhubung rawatan air mineral oleh Nestle.
Suruhanjaya itu mendakwa bahawa pejabat Presiden Emmanuel Macron “telah mengetahui, sekurang-kurangnya sejak 2022, bahawa Nestle telah menipu selama bertahun-tahun”.
Sumber: AFP – Agence France Presse (24 September 2025)

