Senjata Nuklear Mesti Segera Diharamkan Sepenuhnya

Gambar melalui California Department of Public Health

26 September ialah Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Menyeluruh Senjata Nuklear, hari bagi semua negara untuk berhadapan dengan hakikat yang membimbangkan: senjata nuklear adalah bom jangka dalam kehidupan kita, dan terdapat alasan kukuh untuk mengharamkannya.

Senjata nuklear bukan hanya alat perang; ia adalah alat pemusnahan. Direka bagi menyebabkan kematian beramai-ramai, ia membunuh orang awam dengan sewenang-wenangnya, memusnahkan ekosistem, dan meninggalkan warisan radioaktif yang bertahan berabad-abad. Penggunaannya harus dilarang.

Pada Ogos 1945, ratusan ribu orang terbunuh apabila Amerika Syarikat (AS) meletupkan dua bom atom di bandar Hiroshima dan Nagasaki, Jepun. Ia menandakan permulaan zaman nuklear, saat ketika manusia memperoleh kuasa untuk memusnahkan diri mereka sendiri. Ancaman ini masih ada pada hari ini, malah lebih daripada sebelumnya. Senjata nuklear hampir digunakan semula lebih daripada belasan kali sejak AS pertama kali mula menggunakannya 80 tahun lalu.

Statistik semasa mengenai senjata nuklear memberi gambaran yang amat membimbangkan tentang keselamatan global dan menggariskan keperluan segera bagi pelucutan senjata. Sembilan negara, terdiri daripada Amerika Syarikat, Rusia, United Kingdom, Perancis, China, India, Pakistan, Republik Rakyat Demokratik Korea (Korea Utara) dan Israel kini secara kolektif memiliki lebih 12,000 kepala peledak nuklear, kebanyakannya dalam keadaan bersedia. Lebih 80% kepala peledak ini dipegang oleh Rusia dan Amerika Syarikat. Kepala peledak pada hanya satu kapal selam bersenjata nuklear AS mempunyai kuasa pemusnah tujuh kali ganda daripada semua bom yang dijatuhkan semasa Perang Dunia II, termasuk dua bom atom yang dijatuhkan di Jepun.

Senjata ini mendedahkan ancaman besar kepada manusia. Satu letupan yang tidak sengaja atau disengajakan boleh mencetuskan kematian secara besar-besaran, kemusnahan alam sekitar dan kesan iklim yang tidak dapat dipulihkan. Tetapi senjata nuklear ini bukannya dikurangkan atau dihapuskan, malah ia terus bercambah. Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (Stockholm International Peace Research Institute – SIPRI) melaporkan pada Jun 2025 bahawa persenjataan nuklear dunia sedang diperbesar dan dinaik taraf di mana sembilan negara bersenjata nuklear meneruskan program pemodenan nuklear intensif pada 2024, menaik taraf senjata sedia ada dan menambah versi yang lebih baharu.

Perlumbaan senjata nuklear baharu yang berbahaya ini muncul pada masa rejim kawalan senjata sangat lemah. Rangka kerja undang-undang global bagi masa depan bebas nuklear wujud tetapi ia tidak mempunyai kekuatan dan kemahuan politik untuk menjadikan pelucutan senjata menjadi kenyataan.

Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (Non-Proliferation Treaty – NPT), yang berkuat kuasa pada tahun 1970, merupakan salah satu perjanjian kawalan senjata yang paling meluas diterima pakai dalam sejarah. Ditandatangani oleh 191 negara, ia merupakan perjanjian antarabangsa penting yang bertujuan untuk menghalang penyebaran senjata nuklear, meneruskan perlucutan senjata nuklear, dan menggalakkan penggunaan tenaga nuklear secara aman. Tetapi negara bersenjata nuklear seperti China, Rusia dan Amerika Syarikat, yang menandatangani perjanjian itu gagal dalam komitmen mereka untuk melucutkan senjata. Sebaliknya, mereka terus membiayai, memodenkan dan mengembangkan persenjataan nuklear. Pada 2024 sahaja, perbelanjaan senjata nuklear global melebihi $90 bilion iaitu wang yang digunakan untuk menyempurnakan seni pemusnahan.

Pada 2017, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai satu lagi perjanjian, Perjanjian Larangan Senjata Nuklear (Treaty on the Prohibition of Nuclear Weapons – TPNW), yang secara komprehensif mengharamkan senjata nuklear, melarang pembangunan, pengeluaran, ujian, penggunaan dan penyimpanannya. Dijuarai oleh negara bukan nuklear dan masyarakat sivil, TPNW berhasrat untuk menjadikan senjata nuklear haram di bawah undang-undang antarabangsa dan menyumbang kepada norma bahawa ia tidak boleh diterima. Tetapi perjanjian itu tidak begitu berkesan kerana lima negara asal senjata nuklear – AS, Rusia, China, Perancis, dan United Kingdom – enggan menandatanganinya.

Terdapat kebimbangan bahawa percambahan nuklear mungkin meningkat dengan pesat di seluruh Eropah dan Asia kerana lebih banyak negara mungkin mahu menggunakan nuklear. Negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun, Iran, dan Arab Saudi adalah negara nuklear terpendam yang berpotensi membina senjata nuklear dengan cepat seperti Jerman, Belgium, Itali, Sepanyol dan Belanda, kata laporan Foreign Policy.

Meneruskan laluan semasa secara membuta tuli adalah satu bentuk kegilaan. Dalam dunia yang semakin ditakrifkan oleh ketegangan geopolitik, kerapuhan alam sekitar, dan krisis kemanusiaan, kewujudan berterusan senjata nuklear mendedahkan ancaman nyata yang tidak boleh diabaikan lagi. Kemungkinan berlaku perang nuklear menjadi kebimbangan global. Menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), risiko senjata nuklear digunakan adalah yang tertinggi sejak Perang Dingin. PBB sendiri telah menyatakan secara terbuka bahawa perang nuklear adalah mungkin, terutamanya memandangkan perkembangan terkini di Eropah Timur dan Timur Tengah.

Pengarang British, Mark Lynas, yang telah menghabiskan dua dekad bagi mendesak tindakan ke atas perubahan iklim, kini mengatakan bahawa perang nuklear adalah ancaman yang lebih besar kepada manusia daripada krisis iklim. Meningkatkan lagi tahap risiko nuklear ialah teknologi yang lebih maju, seperti kecerdasan buatan (AI) yang boleh mengautomasikan perintah dan kawalan senjata nuklear secara berbahaya.

Jam Kiamat ialah jam simbolik yang diterima pakai oleh saintis atom, menunjukkan betapa hampirnya kita untuk ‘memusnahkan dunia kita dengan teknologi berbahaya buatan kita sendiri’. Ia merupakan penunjuk yang diiktiraf secara universal mengenai kerentanan dunia terhadap malapetaka global yang disebabkan oleh senjata nuklear, senjatabio, perubahan iklim, penyakit berjangkit dan AI. Semakin hampir ke tengah malam, semakin dekat manusia dengan penghujung dunia. Jam kini 89 saat ke tengah malam.

Peperangan nuklear akan membawa kepada penderitaan manusia yang tidak terkira, dengan kesan bencana kepada semua negara, lebih-lebih lagi apabila kita hidup dalam dunia yang semakin saling berkaitan yang terdedah kepada krisis yang melanda. Akibatnya termasuklah kematian secara besar-besaran akibat letupan awal dan kesan buruk radioaktif yang berikutnya, kebuluran global yang meluas akibat gangguan iklim dan keruntuhan pertanian, keruntuhan sistem sosial dan ekonomi, dan potensi bencana alam sekitar seperti gangguan arus lautan dan marin.

PBB dan semua negara anggotanya, terutamanya negara nuklear, mempunyai tanggungjawab utama untuk menarik dunia kembali daripada jurang ini. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa PBB untuk mengambil tindakan segera untuk menghapuskan senjata nuklear seperti yang terkandung dalam NPT. Kami turut menggesa kerajaan Malaysia untuk membangkitkan perkara tersebut dan menggesa PBB untuk melaksanakan matlamat asal NPT untuk menghapuskan semua senjata nuklear.

Pemimpin dunia perlu serius memulakan perbincangan dengan niat baik mengenai ancaman nuklear semasa. Kita amat memerlukan penggiatan semula diplomasi global dan mewujudkan forum baharu yang merangkumi kuasa nuklear yang sedang muncul seperti India, Pakistan dan China dan bukan hanya negara asal senjata nuklear.

Masyarakat sivil mestilah memberikan tekanan kepada pemimpin politik untuk mengutamakan pelucutan senjata nuklear dan pengawalan daripada percambahannya. Individu juga mestilah meninggikan suara mereka melalui pendidikan, aktivisme dan pengundian bagi pemimpin yang mengutamakan keamanan daripada kuasa.

Hari ini bukan hari perayaan, ia adalah hari untuk kita mengimpikan dunia di mana keselamatan berteraskan diplomasi, keadilan, dan kelangsungan hidup bersama. Hari yang mengingatkan kita bahawa senjata nuklear adalah senjata paling berbahaya di bumi dan ia mestilah diharamkan sepenuhnya tanpa berlengah lagi.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 25 September 2025