Kumpulan pengguna Malaysia mengalu-alukan penguatkuasaan undang-undang paparan harga ubat, berkuat kuasa 1 Mei 2025, sebagai langkah penting ke arah lebih ketelusan, akauntabiliti dan pemerkasaan pengguna dalam penjagaan kesihatan. Peraturan baharu ini, yang dikenali sebagai Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 dan diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, memerlukan semua kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti untuk memaparkan dengan jelas harga semua ubat bagi kegunaan manusia, termasuk ubat preskripsi dan bukan preskripsi, ubat tradisional dan supplemen kesihatan.
Undang-undang baharu ini adalah merupakan satu langkah kritikal ke arah menangani isu harga yang tidak jelas yang berpanjangan dan variasi harga yang luas yang telah menyukarkan pengguna. Undang-undang baharu ini ialah mekanisme memaparkan harga, dan tidak boleh dikelirukan dengan kawalan harga. Adalah menjadi hak asasi pengguna untuk dimaklumkan, didengari, memilih dan selamat berhubung dengan barangan yang mereka makan. Ubat adalah barangan penting di mana terdapat asimetri maklumat dalam penyediaan dan penggunaannya. Oleh itu, dengan mewajibkan paparan harga, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil langkah untuk menegakkan hak sejagat pengguna terhadap mendapatkan maklumat dan membuat pilihan, membolehkan rakyat Malaysia membandingkan harga ubat, merancang perbelanjaan penjagaan kesihatan mereka, dan mengelak daripada dikenakan caj berlebihan. Dengan kadar inflasi perubatan Malaysia mencecah 15%, jauh melebihi purata serantau dan global, penandaan harga yang telus adalah langkah pertama yang perlu ke arah mengekang kenaikan harga yang tidak wajar dan melindungi belanjawan isi rumah.
Undang-undang itu wujud selepas proses perundingan awam yang meluas selama lebih daripada 5 tahun. Hasrat awal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah mekanisma perintis yang dicadangkan untuk mengehadkan penandaan pada ubat preskripsi sumber tunggal terpilih untuk menangani harga ubat yang tinggi di Malaysia.
Peraturan harga disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terutamanya dalam sektor penjagaan kesihatan swasta di mana pengguna membayar keluar dari poket (OOP) bagi ubat, dengan menetapkan harga borong dan runcit maksimum dalam rantaian bekalan farmaseutikal bagi ubat preskripsi di mana hanya terdapat satu pembekal. Monopoli yang dinikmati oleh pembekal sumber tunggal membolehkan mereka mengikut budi bicara dalam menetapkan harga yang membawa kepada beberapa kes di mana harga ubat-ubatan terlalu tinggi dan tidak mampu dibeli untuk kedua-dua pesakit dan sistem kesihatan di seluruh dunia. Akibatnya ia boleh menjadi malapetaka kewangan bagi isi rumah contohnya dalam kes ubat-ubatan kanser, dan belanjawan penjagaan kesihatan yang meningkat, menyebabkan kerajaan memberi keutamaan dan rasional untuk memenuhi keperluan kesihatan negara. Disebabkan tentangan yang kuat, sebahagian besarnya oleh industri dan beberapa badan profesional, terhadap peraturan kenaikan harga ini, mekanisme awal yang dicadangkan oleh KKM telah digugurkan, dan ini mengecewakan kami.
Mekanisme paparan harga ubat semasa di bawah KPDN dengan kerjasama Kementerian Kesihatan adalah kompromi dan minimum yang perlu dilakukan oleh Kerajaan bagi memastikan pelaksanaan mandatnya termasuk menggalakkan perdagangan dalam negeri yang beretika dan mampan di samping melindungi kepentingan pengguna ke arah kualiti hidup yang lebih baik.
Mengenai ulasan bahawa pemaparan harga ubat boleh memberi kesan negatif kepada pendapatan doktor atau kemampanan klinik swasta, kami menekankan bahawa pemaparan harga tidak boleh digabungkan dengan isu pendapatan dan kemampanan pendapatan doktor. Mekanisme memaparkan harga menangani hak asasi pengguna atau pesakit untuk dimaklumkan mengenai barangan yang dibeli. Dasar ini hanya tertumpu pada harga ubat, bukan pada yuran atau pendapatan profesional penjagaan kesihatan seperti doktor. Pendapatan doktor berkaitan dengan yuran perundingan, kos operasi dan imbuhan, yang merupakan pertimbangan kewangan yang berasingan, melibatkan aliran hasil yang berbeza, berada di bawah kementerian yang berbeza dan di bawah rangka kerja dasar dan kawal selia yang berbeza.
Penetapan harga ubat yang telus sebenarnya akan membina kepercayaan dan keyakinan dalam sistem penjagaan kesihatan swasta, memberi manfaat kepada kedua-dua pesakit dan penyedia penjagaan kesihatan yang beretika. Ia tidak menjejaskan profesionalisme atau kemampanan kewangan doktor, yang pendapatannya ditentukan oleh kepakaran mereka, kualiti perkhidmatan dan yuran perundingan terkawal, bukan oleh tokokan ubat tersembunyi.
Gesaan Kami untuk Bertindak
Kami menggesa semua penyedia penjagaan kesihatan untuk mematuhi undang-undang dalam semangat menjamin hak pengguna dan kepentingan awam. Kami juga menggesa orang ramai untuk menyokong langkah penting ini yang memberikan maklumat kepada pengguna dan melaporkan sebarang ketidakpatuhan kepada pihak berkuasa.
Kami berjanji untuk menyokong KPDN dan KKM untuk memantau pelaksanaan mekanisme paparan harga ubat.
Marilah kita bekerjasama bagi sistem penjagaan kesihatan yang lebih adil, lebih telus dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia.
Kenyataan dikeluarkan oleh:
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Dr. Saravanan Thambirajah
Ketua Pegawai Eksekutif
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
M. S. Anuar Mahmod
Setiausaha Agung, RURAL MALAYSIA
Persatuan Pengguna Luar Bandar & Ekologi Malaysia
Mohd Azmi bin Abdul Hamid
Presiden
TERAS Pengupayaan Melayu
Shamsudin Bin Mohamad Fauzi
Presiden
Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL)
Kenyataan Akhbar, 2 Mei 2025

