Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa penganut yang menyambut Thaipusam pada 25 Januari ini agar mengurangkan pecah kelapa kerana kekurangan kelapa yang akan mengakibatkan harga kelapa yang lebih mahal pada tahun ini. Para penganut digalakkan untuk menyalurkan wang yang bertujuan untuk dibelanjakan untuk memecahkan kelapa tambahan kepada masyarakat India yang memerlukan, terutamanya mereka yang berada di dalam kumpulan B40.
Dalam tinjauan harga kelapa secara rawak oleh CAP baru-baru ini bagi sambutan Thaipusam 2024, penjual mendakwa terdapat kekurangan bekalan kelapa pada tahun ini. Untuk mengesahkan perkara ini, kami menghubungi pengusaha ladang kelapa di Bagan Datuk, Perak yang mendakwa pokok kelapa berbuah lebih sedikit kali ini. Adalah dipercayai bahawa keadaan cuaca yang melampau boleh menjadi salah satu faktor penting bagi penurunan hasil.
Pecah kelapa semasa Thaipusam adalah upacara pembersihan yang diamalkan oleh penganut Hindu. Ia adalah gambaran simbolik menyerahkan ego seseorang di kaki Tuhan yang dilakukan dengan penuh tekad dan pengabdian. Kelapa yang telah dipecahkan kemudiannya dikumpulkan dan isinya sama ada dimakan mentah atau digunakan untuk memasak.
Begitulah indahnya amalan agama Hindu yang memastikan makanan tidak dibazirkan. Dalam tradisi Hindu, sebarang makanan yang dipersembahkan kepada Tuhan perlu dianggap sebagai prasadam dan perlu dimakan oleh penganut dan tidak dibuang sebagai bahan buangan.
Kelapa digunakan dalam setiap upacara keagamaan Hindu kerana tahap khasiatnya yang tinggi. Bertentangan dengan tanggapan popular bahawa kelapa mempunyai tahap kolesterol yang tinggi dan perlu dihindari, orang Hindu kerap menggunakan kelapa dalam masakan mereka dan sebagai rawatan untuk pelbagai penyakit. Kelapa juga merupakan buah yang dihormati oleh penganut Hindu dalam upacara keagamaan mereka.
Ramai penganut, khususnya daripada masyarakat Cina, kurang arif mengenai sebab sebenar di sebalik upacara pecah kelapa. Mereka tersalah anggap bahawa semakin banyak kelapa yang dipecahkan, semakin banyak tuah yang dilimpahkan kepada mereka. Oleh itu beribu-ribu kelapa dipecahkan setiap tahun yang akhirnya berakhir di tapak pelupusan sampah dan dibakar, bertukar menjadi gas yang mencemarkan alam sekitar. Perbuatan ini sendiri tidak menepati ajaran atau praktikal.
Pecah kelapa, yang telah sebati dalam hati setiap penganut Hindu, perlu dilaksanakan dengan cara yang betul iaitu dengan memecahkan hanya sebiji kelapa, yang perlu dilakukan dengan penuh pengabdian.
Menghabiskan wang untuk beribu-ribu kelapa adalah tidak bijak, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi sekarang. Selain itu, seperti kebiasaannya, harga kelapa dijangka meningkat semasa sambutan Thaipusam. Harga pasaran kelapa ialah RM1.60 sebiji. Semasa Thaipusam, harganya boleh mencecah RM2.20, malah RM2.50 sebiji.
Penganut Hindu digesa untuk memikirkan secara mendalam mengenai perkara ini, dan mengikuti amalan agama yang betul. Tunjukkan teladan yang baik ketika memecahkan kelapa pada sambutan Thaipusam ini dan agar ia menjadi teladan yang baik kepada generasi muda penganut agama Hindu.
N.V. Subbarow
Pegawai Pendidikan
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 23 Januari 2024