Sahabat Alam Malaysia amat kecewa dengan keputusan terkini kerajaan MADANI berhubung pelanjutan syarat lesen operasi Lynas sehingga Mac 2026.
Kami keliru dengan pusingan U yang dibuat oleh kerajaan daripada keputusan awalnya. Kerajaan mesti menjelaskan mengapa perubahan hati ini, sedangkan sebelum ini, ia mengambil berat tentang komponen radioaktif dalam aktiviti syarikat Lynas.
Menurut kenyataan media Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pembalikan keputusan bahawa aktiviti Cracking & Leaching (C&L) syarikat akan diteruskan tertakluk kepada syarat Lynas hendaklah memastikan kandungan radioaktif dalam residu Water Leach Purification (WLP) di bawah 1 Bq/g melalui program R&D yang diterajui oleh pakar tempatan.
Paras semasa komponen radioaktif adalah pada 6-7 Bq/g dan bagaimana pakar tempatan akan menurunkan ini ke paras di bawah 1 Bq/g adalah dipersoalkan.
Nampaknya keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) adalah berdasarkan penemuan kajian awal di peringkat makmal yang menunjukkan bahawa bahan radioaktif daripada thorium boleh diekstrak keluar daripada residu WLP sehingga residu ini boleh dilepaskan daripada kawalan perundangan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).
Tiada penjelasan telah diberikan tentang bagaimana tahap radioaktif akan diturunkan.
Adakah kajian tempatan ini termasuk penyelidikan CondiSoil yang telah ditolak sebelum ini atau percubaan makmal lain yang belum terbukti? Orang ramai memerlukan ketelusan dan Kementerian perlu menjelaskan butiran penyelidikan.
SAM amat keliru dengan penjelasan ini dan menyeru untuk kerajaan lebih telus dan membuat pendedahan awam tentang kajian ini dan butirannya.
Pembalikan keputusan kerajaan berdasarkan kajian awal ini sama sekali tidak meyakinkan atau memberi jaminan dari segi kesihatan awam dan perlindungan alam sekitar.
Kerajaan perlu lebih bertanggungjawab dan telus dalam hal ini dan Kementerian perlu menjelaskan butir-butir penyelidikan tersebut.
Ia jelas dari orientasi kerajaan untuk menjana wang daripada industri nadir bumi tetapi ini tidak harus menjejaskan kesihatan rakyat dan alam sekitar.
Kami mengulangi gesaan kami untuk pendedahan awam kajian awal dengan segera.
Mageswari Sangaralingam
Setiausaha Kehormat
Sahabat Alam Malaysia
Kenyataan Media, 24 Oktober 2023