LARANGAN TERHADAP KENDERAAN BERAT PADA WAKTU PUNCAK

Kenderaan berat pada waktu puncak di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengulangi gesaan kami untuk mengenakan larangan terhadap kenderaan berat pada waktu puncak.  Kerajaan telah mewartakan larangan terhadap lori di lebuh raya untuk pergi dan balik dari Kuala Lumpur pada waktu puncak, mulai 19 Februari 2025. Peraturan ini bagi melancarkan aliran trafik di Lembah Klang dengan mengalihkan kenderaan berat yang bergerak perlahan pada waktu puncak.

Pada 20 Februari 2025, Ketua Pegawai Operasi lebuh raya ASP Amir Che Ya dilaporkan oleh media menyatakan bahawa terdapat kelancaran kenderaan di sepanjang lebuh raya yang biasanya sesak selepas sekatan terhadap kenderaan berat pada waktu puncak baharu di lebuh raya terpilih yang melalui Lembah Klang.

Pada Julai 2024 lalu, CAP telah menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya melaksanakan larangan terhadap kenderaan berat pada waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland di Pulau Pinang khususnya pada waktu pagi dan petang.

Jika larangan terhadap kenderaan berat pada waktu puncak di Lembah Klang menunjukkan hasil yang positif, adalah wajar untuk mempertimbangkan untuk melaksanakannya di Pulau Pinang dan juga di negeri lain. Faedahnya adalah jelas: aliran trafik yang lancar, kesesakan lalu lintas yang lebih sedikit, tekanan yang berkurangan bagi penumpang dan potensi penurunan dalam pencemaran. Ia juga menggalakkan perancangan logistik dan pengangkutan barangan yang lebih cekap, memastikan barang dihantar pada waktu luar puncak apabila jalan raya kurang sibuk.

CAP menggesa Kementerian Pengangkutan supaya tidak melengahkan dan melaksanakan larangan kenderaan berat pada waktu puncak.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 9 April 2025