Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Perak supaya mengkaji semula dengan lebih serius kebenaran untuk kuari Zon C Gunung Kanthan yang terletak di dalam salah satu tapak geo di Geopark Lembah Kinta.
Tapak Gunung Kanthan berusia 400 juta tahun itu adalah yang terbesar dan puncak paling luas yang masih ada daripada komplek batu kapur karst Kanthan. Lebih-lebih lagi, ia merupakan warisan semula jadi dan aset yang tidak dapat diperbaharui kepada negara.
Gunung Kanthan menawarkan potensi arkeologi dan paleontologi yang amat berharga sekali kerana banyak tapak arkeologi di Semenanjung Malaysia dikaitkan dengan gua batu kapur.
Pada 2005, unit prasejarah Jabatan Muzium dan Antikuiti menemui serpihan tembikar berkemungkinan dari zaman Neolitik, di salah satu gua. Bagaimana kerajaan boleh menyerah kepada ketamakan komersial untuk memusnahkan satu bab prasejarah yang dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia?
Satu lagi contoh ialah lukisan Neolitik yang ditemui di bukit batu kapur Gunung Panjang di Tambun yang terletak di pinggir bandar Ipoh. Lukisan itu bertarikh antara 2,000 dan 5,000 tahun, ditemui pada 1959. Apa yang akan berlaku jika kebenaran diberikan kepada syarikat kuari?
Pada 2019, Ahli Paleontologi Vertebrata Lim Tze Tshen berkata bahawa beliau menemui fosil orang utan di Gua Kanthan Jelapang. Katanya, beliau menemui banyak fosil mamalia termasuk lembu liar, babi hutan, rusa, landak, dan badak air daripada gua di Perak. Kajian dan penerokaan yang menyeluruh amat diperlukan.
Komplek karst seperti Gunung Kanthan juga menjadi kediaman kepada spesies flora endemik yang secara kritikalnya sedang terancam seperti Meiogye kanthanensis, Gymnostachyum kanthanensis dan Vatica kanthanensi dan spesies fauna labah-labah trapdoor prasejarah, liphistiuskanthanensi dan biawak yang dipanggil cytrodactylus guakanthanensis. Ia juga dikenal pasti sebagai “satu-satunya hutan batu kapur yang masih ada di Perak” dengan populasi burung, reptilia, katak, dan kambing gurun yang terancam.
Pada 2016, saintis daripada Universiti Malaysia Sabah dan Rimba yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan telah menjalankan kajian berskala besar mengenai siput tanah di 12 bukit batu kapur di Perak dengan geran disediakan oleh pengendali kuari Lafarge Malaysia. Sejumlah 122 spesies siput tanah direkodkan dan 34 daripadanya digambarkan sebagai “unik kepada salah satu bukit yang dikaji”. Kira-kira 30 daripadanya “berpotensi baharu kepada sains”.
Aktiviti kuari batu kapur mengancam Gunung Kanthan dengan kemusnahan. Terdapat saranan bagi batu kapur melalui aktiviti kuari daripada tanah lombong terbiar atau menjalankan kuari bawah permukaan sebagai ganti meletupkan karst. Dengan meletupkan karst, ia akan melenyapkan serta memusnahkan seluruh bukit ikonik, khazanah prasejarah yang dimilikinya, dan kemusnahan alam sekitar yang amat berharga.
Sebenarnya, Lafarge Malaysia Sdn. Bhd., menugaskan Universiti Petronas untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan kuari batu kapur bawah permukaan. Pada 2020, hasil kajian dibentangkan di persidangan antarabangsa di Kuala Lumpur, menunjukkan bahawa kuari bawah permukaan memang boleh dilaksanakan.
Sebelum ini, pada 2015, Ramli Mohd Osman, Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Mineral, menunjukkan bahawa terdapat 21 bilion tan rizab batu kapur bawah permukaan yang boleh dilombong tanpa memusnahkan bukit batu kapur Perak. Pusat Penyelidikan Mineral merupakan agensi di bawah Jabatan Mineral dan Geosains selepas penggabungan dengan Jabatan Kajian Geologi dan Jabatan Perlombongan pada 1999.
Kami ingin menggesa kerajaan supaya menjelaskan kenapa ia membenarkan pemusnahan bukit batu kapur yang merupakan ikonik kepada bandar Ipoh apabila batu kapur boleh diperolehi daripada bawah tanah sepertimana yang dijelaskan oleh pakar. Ia kerana meletupkan bukit tidak disedari adalah cara yang paling menjimatkan untuk mendapatkan bahan?
Kerajaan perlu dipertanggungjawabkan terhadap kemusnahan bukit batu kapur dan kesannya kepada kerosakan alam sekitar kerana ia bertanggungjawab bagi pengeluaran kebenaran bagi aktiviti kuari. Lebih-lebih lagi, terdapat cadangan berdaya maju yang disokong oleh kajian oleh pakar daripada pelbagai bidang tanpa meninggalkan landskap yang berparut.
Kenyataan Akhbar, 12 Ogos 2021