Loji Sisa-kepada-Tenaga di Malaysia Cetus Kebimbangan Iklim, Laporan Delhi Dedah Beban Karbon Fosil yang Tinggi dari Insinerator

29 Oktober 2026

Satu laporan baharu, The Climate Cost of Burning Waste: The Carbon Intensity of Waste-to-Energy Incinerators in Delhi, and Why It Should Not Be Funded as Climate Action, mendapati bahawa tenaga elektrik yang dijana oleh empat insinerator sisa-kepada-tenaga (Waste-to-Energy – WTE) yang beroperasi di Delhi membawa beban karbon-fosil yang tinggi.

Kajian bersama yang dijalankan oleh National Alliance for Climate and Ecological Justice (NACEJ) dan Centre for Financial Accountability (CFA) menganggarkan sebanyak 3.4 kg CO2 berasal daripada bahan fosil (sisa plastik) bagi setiap kWj tenaga elektrik bersih yang dijana — kira-kira 4.7 kali ganda faktor purata wajaran Central Electricity Authority bagi elektrik grid di India, dan 3.5 kali ganda faktor arang batu, yang digunakan dalam laporan tersebut.

Loji sisa-kepada-tenaga di Delhi mendedahkan kos iklim bagi satu model yang sedang dipromosikan di negara-negara Selatan Global. Memandangkan bandar-bandar di Asia, Afrika, dan Amerika Latin menghadapi tekanan untuk menggunakan kaedah penunuan sisa (insinerasi) atas nama pengurusan sisa moden dan tenaga bersih, Delhi membangkitkan satu persoalan kritikal: mengapakah dana awam dan pembiayaan iklim harus menyokong penunuan sisa yang sarat dengan plastik, sedangkan sistem Sifar Sisa (Zero Waste) yang sebenar menawarkan pendekatan yang tertumpu kepada pencegahan, penggunaan semula, kitar semula, dan pengkomposan?

Program WTE Malaysia yang sedang diperkembangkan menjadikan dapatan laporan ini sangat relevan terutamanya bagi rantau Asia Tenggara. Di Selangor, loji WTE fasa 1 Jeram telah memulakan operasi komersial pada Mei 2026, dengan kapasiti untuk menunu sehingga 1,500 tan sisa perbandaran setiap hari serta menjana 26 MW tenaga elektrik. Unit kedua di Jeram kini hampir siap, manakala satu lagi loji WTE dirancang untuk dibina di Tanjung Dua Belas, Selangor.

Di peringkat kebangsaan, Malaysia telah mengumumkan rancangan untuk mewujudkan 18 loji WTE menjelang tahun 2040, dengan sasaran kapasiti penjanaan tenaga elektrik terkumpul sebanyak 600 MW. Memandangkan kaedah penunuan semakin digalakkan sebagai penyelesaian kepada tekanan terhadap tapak pelupusan sampah serta sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui, persoalan mengenai impak sebenar terhadap iklim, implikasi kewangan jangka panjang, serta kesan terhadap usaha pencegahan dan kitar semula sisa memerlukan penelitian segera.

Walaupun laporan ini meneliti empat loji WTE di Delhi dan bukannya loji WTE yang terdapat di Malaysia, dapatan kajian ini mengemukakan persoalan penting bagi dasar pengurusan sisa dan iklim di Malaysia. Pelaburan awam dan pembiayaan iklim seharusnya mengutamakan pencegahan sisa, penggunaan semula, sistem pengisian semula, pengasingan sisa di punca, kitar semula bebas toksik, serta pengkomposan; bukannya mengikat rakyat kepada model infrastruktur yang bergantung pada bekalan sisa yang berterusan untuk dibakar.

Penunuan plastik teras kepada kos iklim

Empat loji WTE di Delhi melaporkan pemprosesan sebanyak 735,840 tan plastik pada tahun 2023 – kira-kira 2,016 tan sehari. Laporan tersebut menganggarkan bahawa plastik merangkumi sekitar 42% daripada bahan suapan RDF (refuse derived fuel) dari segi jisim. Penunuan plastik membebaskan karbon fosil dalam bentuk CO₂ dan memusnahkan bahan yang sebenarnya boleh diuruskan melalui langkah pencegahan, penggunaan semula, atau kitar semula. Berdasarkan perbandingan dalam laporan tersebut, anggaran pelepasan langsung dalam kajian tersebut adalah setara dengan pelepasan tahunan bagi kira-kira 1.44 juta buah kereta.

735,840 tan

plastik dilaporkan telah dibakar oleh empat loji di Delhi pada tahun 2023

42% plastik terbakar

sebagai bahan api hasil sisa (RDF) oleh empat loji WTE

2.1 juta tan

anggaran CO2 langsung daripada bahan api fosil hasil penunuan plastik

“Paradoks plastik”: penunuan plastik boleh menjana nilai EPR

Rangka kerja Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (Extended Producer Responsibility – EPR) di India mengiktiraf loji WTE sebagai pemproses sisa plastik, yang membolehkan  loji tersebut menjana sijil EPR berdasarkan jumlah plastik yang dibakar. Laporan tersebut berhujah bahawa perkara ini boleh mewujudkan insentif kewangan untuk penunuan, berbanding pengurangan penggunaan plastik, sistem guna semula dan pengisian semula, atau penambahbaikan pembungkusan.

Percanggahan dari segi kawal selia

Laporan itu turut mempersoalkan klasifikasi loji WTE sebagai “perkhidmatan alam sekitar penting”. Pada tahun 2025, CPCB telah memperkenalkan “Kategori Biru” bagi Perkhidmatan Alam Sekitar Penting yang merangkumi loji WTE; satu penilaian CFA berasingan menganggarkan Indeks Pencemaran sebanyak 100/100 bagi empat loji di Delhi. Indeks ini mengukur potensi pencemaran, bukan pelepasan iklim.

Tenaga elektrik yang terlalu sedikit untuk kos karbon yang tinggi

~198 kWj

anggaran tenaga elektrik bersih yang dieksport bagi setiap tan sisa pepejal perbandaran mentah

Kurang daripada 1.5%

anggaran bahagian daripada jumlah permintaan elektrik Delhi dibekalkan oleh keempat-empat loji WTE tersebut

Walaupun ini merupakan satu kajian kes di Delhi, dapatan kajian ini mempunyai kerelevanan yang lebih luas memandangkan insinerator WTE dipromosikan di negara-negara Selatan Global sebagai satu bentuk intervensi dalam pengurusan sisa, tenaga, dan iklim. Laporan tersebut menghujahkan bahawa pembiayaan iklim antarabangsa seharusnya menyokong usaha pengurangan pelepasan yang boleh diukur serta sistem sifar sisa, dan bukannya infrastruktur yang bergantung kepada penghasilan sisa yang berterusan serta penunuan plastik.

Saranan Laporan

1. Keluarkan penunuan sisa perbandaran daripada pembiayaan iklim, termasuk projek-projek baharu dan yang telah diperluaskan. 2. Hentikan pemberian kredit karbon bagi penunuan sisa perbandaran, termasuk pertimbangan semula kredit Clean Development Mechanism.
3. Keluarkan penunuan sisa perbandaran campuran daripada klasifikasi tenaga boleh diperbaharui dan pengkategorian “Biru”. 4. Tamatkan kredit EPR dan insentif lain yang memberi ganjaran kepada penunuan plastik; utamakan pencegahan sisa, penggunaan semula, pengasingan sisa di punca, kitar semula, rawatan biologi dan integrasi pekerja sisa.

“Perkembangan penunuan sisa memburukkan lagi krisis iklim. Loji insinerator sisa-kepada-tenaga membebaskan sejumlah besar gas rumah hijau, bahan pencemar udara yang toksik, serta abu berbahaya, yang membawa risiko kepada alam sekitar dan kesihatan awam. Daripada memusnahkan sumber berharga melalui teknologi insinerator, pelaburan seharusnya mengutamakan pencegahan sisa, pengurangan sisa, penggunaan semula, pembaikian, pengkomposan, dan pembangunan sistem sifar sisa yang jauh lebih banyak memberikan manfaat iklim, memulihara sumber, mewujudkan peluang pekerjaan tempatan, serta menyokong mata pencarian komuniti,” kata Mageswari Sangaralingam, Ketua Eksekutif  Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), serta Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia.

“Mengekstrak bahan api fosil, menghasilkan lebih banyak plastik, kemudian membakar sisa yang terhasil di loji sisa-kepada-tenaga merupakan satu kitaran berterusan yang tidak menyelesaikan masalah; ia hanya menyembunyikan timbunan sisa daripada pandangan mata. Pembakaran sisa sebenarnya menukarkan sisa tersebut menjadi CO2, sejenis gas halimunan yang terus memanaskan planet ini. Membiayai kemudahan sebegini dengan menggunakan dana iklim bukanlah satu penyelesaian Sifar Sisa, dan amalan ini mesti dihentikan,” kata Anwesha Maharana, pengarang bersama laporan tersebut dan saintis pelawat di Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu – Institut Alam Sekitar dan Keselamatan Manusia (UNU-EHS).

“Pembiayaan iklim antarabangsa tidak seharusnya menyokong insinerator WTE, memandangkan tenaga elektrik yang dihasilkan membawa beban karbon fosil yang sangat tinggi. Sebaliknya, dana tersebut harus menyokong usaha pencegahan sisa, penggunaan semula, kitar semula, serta sistem sifar sisa yang mengutamakan pekerja,” kata Chythenyen Devika Kulasekaran, pengarang bersama laporan tersebut dari Centre for Financial Accountability.

“Penunuan sisa sering digambarkan sebagai satu bentuk tindakan iklim, sedangkan ia merupakan antara kaedah yang paling intensif karbon untuk menjana tenaga elektrik. Ia juga menjejaskan mata pencarian ribuan pekerja sektor sisa yang terpinggir, membebaskan bahan pencemar karsinogenik, meninggalkan sisa toksik, serta melucutkan nutrien daripada tanah. Kita mesti menghentikan penunuan sisa dengan serta-merta,” kata Soumya Dutta, Pengarah Penyelidikan bagi laporan tersebut dan Pemegang Amanah MAUSAM (Movement for Advancing Understanding of Sustainability and Mutuality), serta bekas ahli Lembaga Penasihat, Pusat dan Jaringan Teknologi Iklim PBB (UN Climate Technology Centre and Network).

Pautan ke laporan penuh – https://cenfa.org/the-climate-cost-of-burning-waste/