Maafkan dan berilah suntikan vaksin pada warga emas di rumah jagaan tidak berlesen

Dalam keadaan semasa yang teruk ini, sebaiknya kerajaan memberikan kemaafan kepada rumah penjagaan orang tua yang tidak berlesen dengan membenarkan setiap pekerja dan penghuninya menerima suntikan vaksin Covid-19. Rumah penjagaan yang berdaftar dilesenkan oleh pelbagai pihak berkuasa misalnya kerajaan tempatan.

Amat mengejutkan daripada 1,300 rumah penjagaan yang tidak berlesen, cuma kira-kira 100 daripadanya mendaftarkan kakitangan dan penghuninya untuk menerima suntikan vaksin, iaitu 8 peratus daripada jumlah keseluruhan. Situasi sebegini sedang menuju ke arah mala petaka.

Malaysia sepatutnya menjadikan iktibar pengalaman rumah penjagaan yang terkena Covid-19 di Amerika, yang meragut nyawa lebih 28,000 penghuni dan kakitangannya antara penghujung Februari 2020 hingga awal Mei 2021 – dalam tempoh dua bulan sahaja – dan ini merupakan 30 peratus kematian akibat Covid-19 di negara itu. Kerajaan tidak seharusnya membiarkan perkara sama berlaku di Malaysia kerana Covid-19 akan memudaratkan golongan lemah ini.

Oleh itu kerajaan perlu memberikan keutamaan dalam agendanya dengan memberi suntikan vaksin kepada semua kakitangan dan penghuni rumah penjagaan orang tua tanpa menghukum fasiliti yang tidak berlesen. Sebarang masalah pelesenan boleh ditangani dengan baik selepas pandemik tersebut berakhir.

Kerajaan seharusnya mengenal pasti alasan kenapa rumah-rumah penjagaan tersebut tidak dilesenkan dan membantunya mendapatkan lesen selepas pandemik ini. Kerajaan juga seharusnya menyediakan kemudahan dan menyelaraskan proses pelesenan agar ia memudahkan pihak berkuasa memantau penjagaan kesihatan penghuni dan menghulurkan bantuan di mana perlu.

Adalah penting bagi kerajaan untuk menghilangkan rasa tidak percaya rumah-rumah penjagaan yang tidak berlesen ini berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap mereka selepas pandemik. Ketidakpercayaan seumpamanya akan menjejaskan objektif kerajaan untuk melindungi kebajikan warga tua.

Menurut Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas SeMalaysia (Agecope), terdapat 365 pusat swasta berdaftar dan 1,300 rumah penjagaan tidak berlesen di seluruh negara. Ini bermakna terdapat hampir empat rumah penjagaan tidak berdaftar bagi setiap satu yang berdaftar.

Kami mengulangi gesaan kepada kerajaan agar menghulurkan bantuan kepada rumah penjagaan orang tua, dengan menawarkan kemaafan ketika musim pandemik. Langkah ini perlu diambil bagi  menggalakkan mereka tampil ke depan dan membolehkan kakitangan serta penghuni mereka menerima suntikan vaksin. Tambahan sifat belas kasihan dan ehsan antara sesama manusia menjadi penanda bagi kejayaan penguatkuasaan undang-undang.

 

Kenyataan Akhbar, 21hb. Mei 2021