Mahkamah putuskan tiada kebenaran merancang yang sah bagi Projek PSR; namun benarkan ‘Pulau Tak Sah’ diteruskan atas alasan teknik

Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan yang difailkan oleh para nelayan dan kumpulan-kumpulan alam sekitar, SAM dan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI), terhadap projek Penang South Reclamation (PSR), walaupun Mahkamah menyatakan bahawa kebenaran merancang yang diberikan adalah tanpa kuasa yang sah.

Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa Pengarah Jabatan Perancangan Negeri Pulau Pinang (PlanMalaysia) dan/atau Jawatankuasa Perancangan Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kebenaran merancang bagi kerja-kerja tebus guna tersebut. Jika begitu, logiknya ialah kebenaran merancang bagi Projek PSR adalah tidak sah, dan oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini sedang membina sebuah pulau tanpa kelulusan kebenaran merancang yang sah.

Walaupun mengakui bahawa pihak berkuasa perancang tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kebenaran merancang, Mahkamah akhirnya menolak rayuan tersebut atas alasan prosedur, sekaligus mengelak daripada menangani isu-isu substantif yang telah dibangkitkan.

SAM dan para perayu lain akan berbincang sama ada kami akan meneruskan dengan pemfailan permohonan kebenaran untuk merayu.

 

 

Mageswari Sangaralingam
Setiausaha Kehormat
Sahabat Alam Malaysia

Kenyataan Akhbar, 30 Jun 2026  

 

Butiran Rayuan di sini:
https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2026/07/zakaria-v-pengarah-jpbd-ts-limitation.pdf