Adakah anda tergolong dalam kalangan orang yang suka mencuba makanan “viral’? Baru baru ini makanan seperti tanghulu, cromboloni, fruit jelly ball dan kek tapak kuda menjadi satu fenomena sehinggakan orang ramai sanggup beratur panjang untuk mencubanya.
Hati hati! Makanan-makanan viral ini mengandungi kandungan gula dan kalori yang tinggi. Pengambilan makanan sebegini dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan peningkatan berat badan dan seterusnya membawa kepada risiko penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, kencing manis dan darah tinggi.
Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2019) yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, separuh daripada orang dewasa Malaysia (50.1%) mempunyai berat badan berlebihan (30.4%) dan obes (19.7%).
Oleh itu, sebagai salah satu langkah pencegahan, kita disarankan untuk menghadkan pengambilan gula iaitu tidak melebihi 10% daripada cadangan pengambilan tenaga harian. Ini bersamaan dengan 35 gram atau 7 sudu teh gula sehari bagi individu dewasa (dengan saranan keperluan tenaga harian 1500 kcal).
~ Pusat Maklumat Pemakanan Negeri Kelantan
Sumber: Nutritionist KKM