Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat bimbang dengan pengumuman oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Mohamed Azmin Ali bahawa Malaysia akan menyertai perjanjian ekonomi baharu yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS).
Pentadbiran Biden telah mengumumkan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF – Indo-Pacific Economic Framework) yang dicadangkan semasa lawatan Presiden Joe Biden ke Jepun baru-baru ini. Dilaporkan bahawa AS, Australia, Brunei, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam adalah termasuk dalam cadangan perjanjian baharu itu manakala yang lain mungkin akan menyertainya.
Kurang maklumat yang tersedia untuk menunjukkan asas bagi keputusan yang dibuat oleh MITI. Walau bagaimanapun, lebih daripada 1300 penyerahan termasuk permintaan daripada industri AS boleh didapati di laman sesawang kerajaan AS.
Penelitian awal oleh CAP mendedahkan bahawa syarikat multinasional AS secara terbuka mendesak peruntukan yang akan menghalang kerajaan Malaysia daripada memberi keutamaan untuk membeli daripada syarikat tempatan kita. Ini, terutamanya akan menjejaskan pembuatan domestik dan terutamanya pada masa kini, khasnya apabila firma bersaiz kecil dan sederhana perlu pulih daripada COVID-19.
Industri AS juga menuntut perlindungan harta intelek yang lebih kukuh yang akan, antara lain, menjadikan ubat-ubatan, buku teks, input pertanian dan pembuatan serta teknologi menangani perubahan iklim menjadi lebih mahal.
Peruntukan ekonomi digital yang dicari oleh syarikat teknologi besar AS akan menjejaskan privasi Malaysia, perlindungan pengguna, kesihatan, alam sekitar, kewangan, cukai dan peraturan penting lain, manakala syarikat makanan global milik persendirian Cargill mahukan peruntukan yang membolehkan pelabur asing menyaman Kerajaan dalam tribunal antarabangsa. Skim yang dipanggil penyelesaian pertikaian pelabur-negara (ISDS) ini akan menyekat keupayaan Malaysia untuk mengawal selia dan mendedahkan negara kepada membayar penalti berbilion dolar kepada pelabur asing.
Ini adalah antara peruntukan yang sangat bermasalah yang tidak boleh diterima oleh Malaysia.
Walau bagaimanapun, IPEF yang dimulakan oleh Presiden Biden telah menimbulkan banyak kebimbangan termasuk pertubuhan masyarakat sivil AS (CSO) yang menyatakan hasratnya untuk membangunkan model perdagangan baharu yang ‘berpusatkan pekerja’ sambil bekerjasama dengan negara-negara yang telah melanggar teras piawaian hak asasi manusia dan buruh. Menurut pengkritik AS, persoalan mendesak kekal, bagaimana pentadbiran Biden akan menjamin proses yang telus dan proses penyertaan untuk menegakkan hak pekerja dan privasi pengguna berbanding kepentingan korporat yang lebih besar.
Menteri MITI menyatakan bahawa IPEF bukanlah TPPA 2.0, merujuk kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang berkontroversi diketuai oleh Presiden Barack Obama dan ditinggalkan oleh Presiden Donald Trump. Namun banyak cadangan daripada industri AS, yang terkenal dengan pengaruh tidak wajar terhadap kerajaan AS, adalah serupa dengan peruntukan utama dalam TPP dan penggantinya, Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) iaitu TPPA dengan beberapa peruntukan TPPA yang digantung.
CAP amat khuatir bahawa Menteri MITI telah memberi komitmen Malaysia untuk menyertai pakatan secara pramatang apabila semua kedudukan yang diambil oleh AS dalam isu perdagangan dan pelaburan jelas menunjukkan matlamat utama mereka adalah untuk melindungi dan mengembangkan kepentingan korporat mereka.
Pengumuman Menteri MITI mengenai penyertaan itu mesti diteliti kerana nampaknya tidak ada penilaian yang sewajarnya untuk memasuki rundingan mengenai perjanjian sebegitu, lebih-lebih lagi dalam masa yang penuh dengan kemelut ini di mana ketika negara dilanda gangguan dan kegawatan ekonomi.
Memandangkan kepada rekod setiap Pentadbiran AS yang mendahulukan kepentingan AS, IPEF akan menjejaskan Malaysia.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar / Surat Kepada Pengarang, 26 Mei 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/