Malaysia Terlalu Tergesa-gesa Menandatangani Perjanjian Perdagangan EFTA

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa amat kecewa terhadap keputusan Kerajaan Malaysia yang tergesa-gesa menandatangani perjanjian perdagangan dengan Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland yang bersama-sama membentuk Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) pada 23 Jun di Norway.

Kerajaan gagal menangani kebimbangan kritikal yang dibangkitkan dalam Memorandum kami yang dikemukakan awal bulan ini, berdasarkan teks terbocor lampiran harta intelek (IP) kepada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (MEEPA).

Teks penuh MEEPA kini telahpun diterbitkan. Kandungan Lampiran IP adalah sama dengan teks yang terbocor. Dalam Memorandum CAP, kami telah menyatakan secara terperinci mengenai kebimbangan kami berhubung Lampiran IP tersebut. Kami mengulangi tuntutan kami bahawa Malaysia mestilah mengekalkan kedaulatan penuhnya untuk menggunakan semua aspek fleksibiliti dan budi bicara penuh mereka dalam Perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai Aspek Berkaitan Perdagangan Hak Harta Intelek (TRIPS). Ini membolehkan Malaysia menggubal undang-undang dan mengambil sebarang langkah yang diperlukan untuk memajukan kepentingan negaranya, termasuk mempercepatkan kemasukan persaingan generik dan meningkatkan akses kepada produk perubatan mampu milik. Peningkatan kos penjagaan kesihatan, di mana sebahagian besar daripadanya ialah kos ubat-ubatan, telah mencetuskan perdebatan nasional dan Kerajaan telah menekankan kepentingan untuk meningkatkan pembuatan tempatan. Namun, lampiran IP MEEPA memerlukan Malaysia meluaskan monopoli syarikat farmaseutikal multinasional dengan berkesan sehingga ia menjejaskan industri tempatan dan akses mampu milik.

Lampiran IP MEEPA juga mengancam sektor pertanian kita. Kami amat mengambil berat terhadap peruntukkan yang menyebutkan UPOV (Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu) 1991 yang merupakan satu rangka kerja undang-undang yang sangat ketat dan tidak fleksibel bagi  perlindungan varieti tumbuhan. Kami menekankan bahawa Malaysia perlu mengekalkan Akta Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu 2004 yang sedia ada, yang secara unik mengimbangi kepentingan berbeza dalam sektor pertanian dan mengiktiraf hak petani untuk menyimpan, menggunakan, menukar dan menjual benih dan bahan pembiakan yang disimpan di ladang. Kita tidak boleh didesak untuk menyertai UPOV 1991 yang akan bertentangan dengan hak petani itu.

Malah lebih teruk lagi, komitmen IP yang memerlukan perubahan ketara kepada undang-undang sedia ada di Malaysia akan terpakai kepada semua negara, bukan hanya ahli EFTA, dan ini akan menyekat pembangunan industri farmaseutikal tempatan kita dan memberi kesan buruk kepada hak petani Malaysia.

Berdasarkan teks MEEPA yang diterbitkan, kami juga mendapati bahawa perolehan kerajaan sekali lagi telah diliberalisasikan walaupun masalah dengan liberalisasi perolehan kerajaan telah pun dihadapi dalam pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi  Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), di mana perkara ini telah diketengahkan kepada kerajaan semasa sesi dialog awam MEEPA oleh Kementerian Kewangan pada 6 Oktober 2023.

Kami menyoalkan apakah manfaat ketara yang Malaysia akan perolehi daripada MEEPA, memandangkan komitmen Malaysia di bawah perjanjian tersebut adalah berat sebelah. Negara-negara EFTA, termasuk Switzerland, mewakili pasaran eksport yang agak kecil bagi Malaysia – penduduk EFTA adalah hanya 42% daripada jumlah penduduk Malaysia. Contohnya, ringkasan EFTA berkenaan MEEPA menyatakan bahawa Switzerland hanya memberi Malaysia akses keutamaan pasaran minyak sawit yang terhad, dalam bentuk kuota kadar tarif pada kadar duti yang dikurangkan. Konsesi ini adalah sama dengan yang diberikan oleh Switzerland kepada Indonesia dan tertakluk kepada syarat teknikal dan kemampanan yang sama. Pengurangan tarif adalah sebanyak 20-40% bagi 12,500 tan/tahun jika semua kriteria alam sekitar dapat dipenuhi oleh Malaysia. Jadi jumlah eksport adalah kecil, dan Malaysia tidak mendapat sebarang akses pasaran keutamaan tambahan. Seperti yang diketahui, terdapat kebimbangan yang meluas di Eropah mengenai kemampanan pengeluaran minyak sawit Malaysia.

Oleh itu, dalam membuat persetujuan untuk memenuhi terma-terma yang melebihi keperluan minima Perjanjian TRIPS WTO untuk konteks pasaran barangan yang terhad ini, Malaysia telah membuat konsesi yang tidak seimbang sebagai balasan bagi keuntungan ekonomi yang minima.

CAP amat menggesa kerajaan Malaysia untuk mempertimbangkan semula kedudukannya dan tidak mengambil langkah seterusnya untuk meratifikasi MEEPA sehingga analisis kos-manfaat penuh dan penilaian kesan hak asasi manusia dijalankan dengan penglibatan bermakna pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan petani dan kumpulan advokasi pesakit. Kami menegaskan bahawa MEEPA tidak boleh diratifikasi tanpa ketelusan penuh, rundingan awam yang bermakna, penelitian dan kelulusan Parlimen.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Kenyataan Akhbar, 24 Jun 2025