Masalah bekalan air jejas hasil padi petani Langkawi : CAP

Kawasan sawah yang ditumbuhi rumput

Kira-kira 500 petani di Pulau Langkawi, Kedah mengalami kerugian setiap kali musim menuai berikutan berbagai masalah yang yang berlaku dan dihadapi mereka ketika ini.

Antara punca yang menjejaskan pendapatan petani terbabit ialah bekalan air yang tidak mencukupi, sistem saliran tidak sempurna dan ancaman rumput yang semakin meluas di petak-petak sawah

Kampung-kampung yang terlibat dengan masalah itu ialah Kampung Baru, Mawar, Bukit Temin, Bayas, Lubuk Setoi, Nyior Chabang dan Padang Mat Sirat.

Saliran yang sempit dan tidak diselenggara dengan sempurna

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam tinjauan yang dibuat mendapati hampir separuh dari 2,000 relung sawah yang diusahakan oleh petani-petani di kampung tersebut terencat pembesarannya dan ditumbuhi rumput.

CAP difahamkan petani-petani di sini mengerjakan sawah dua kali setahun dan hanya mengharapkan air hujan untuk mengairi tanaman padi mereka.

Seorang petani Amin Saad, 37, berkata masalah ini telah menyebabkan mereka mengalami kemerosotan hasil lebih 50% dan kerugian besar kerana banyak pokok padi yang mati dan buahnya tidak berisi.

Amin Bin Saad

Menurut beliau, selain penanaman padi biasa yang terlibat dengan masalah ini kawasan projek padi pulut juga mengalami keadaan yang sama menyebabkan ada di antara petani yang menyertai projek itu menghentikan penanaman padi tersebut.

“Kehidupan kami sekarang amat membebankan kerana terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk mengatasi masalah yang berlaku terutama penyewa tanah sawah berikutan bayarannya yang mahal berbanding hasil padi yang amat sedikit kami perolehi”, tegasnya.

Ahmad menunjukkan saliran yang perlu dinaiktaraf dan dibersihkan

Seorang lagi petani Ahmad Nayan, 54, merasa kesal walau pun masalah ini sudah lama berlaku  namun hingga sekarang tidak ada tindakan diambil bagi mengatasinya.

Ia mencadangkan agar pihak berkenaan menaiktaraf dan membersihkan saliran sepanjang lebih kurang 1km dari Lubuk Sembilang hingga ke Bukit Hantu serta membina empangan bagi menyimpan air dari Gunung Raya untuk kegunaan mereka.

CAP memandang serius masalah ini kerana ia bukan saja menjejaskan kehidupan petani-petani di sini tetapi juga pengeluaran hasil makanan negara. CAP percaya dan bimbang jika masalah ini berterusan ia boleh menggugat sektor pertanian dan ekonomi negara pada masa akan datang.

Justeru itu CAP menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi berkaitan menyiasat masalah ini dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 22 Jun 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/