MASALAH SALIRAN JEJAS KEHIDUPAN PETANI MADA – CAP

Kampung Tok Pulau Simpang Empat Perlis.
Pengaliran air tersekat kerja membajak sawah terjejas.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah saliran yang sedang dihadapi oleh kira-kira 2,000 petani di Kampung Tok Pulau, Simpang Empat Perlis dan Kampung Pida 15, Sanglang, Kedah ketika ini.

Keadaan yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu bukan saja menyebabkan para petani di kawasan berkenaan lewat memulakan kerja-kerja membajak dan menabur benih tetapi juga mengalami kerugian kerana kerosakan tanaman padi yang berlaku akibat pengaliran air keluar masuk ke sawah mereka tersekat.

Syed Mahadi Syed Salim

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati sistem saliran sepanjang lebih kurang 6km yang dibina di kawasan tersebut tidak diselenggara dengan baik dan gagal berfungsi secara berkesan bagi kerja-kerja penanaman dan penuaian padi di sini. Sungai dan saliran telah dipenuhi semak samun dan tidak dibersihkan.

Seorang petani Syed Mahadi Syed Salim, 52, ketika ditemui memberitahu, beliau telah mengalami kerugian besar akibat kemusnahan pokok padi yang dialami pada musim menuai kerana air di dalam petak sawah tidak dapat keluar ke sungai berdekatan. Masalah ini telah beberapa kali dikemukakan kepada pihak MADA tetapi tidak ada tindakan yang diambil.

Nikon Anak Lelaki Pin

Nikon A/L Pin, 40, pula berkata, sungai dan saliran di kawasan ini bukan saja dipenuhi semak samun tetapi juga semakin cetek. Ia berpendapat, selain kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan dengan lebih kerap sungai dan saliran di sini juga perlu dikorek untuk membuang lumpur dan sisa mendapan di dalamnya.

Beliau mencadangkan supaya kontraktor yang mengendalikan kerja-kerja pembersihan saliran dan sungai di sini tidak menyembur racun bagi tujuan itu kerana tindakan tersebut akan menyebabkan sisa tumbuhan yang mati akan mendap didasarnya dan lama kelamaan ia akan menjadi cetek serta menjejaskan keperluan dan pengaliran air di kawasan ini.

Saliran MADA di Sanglang Kedah dipenuhi semak samun.

CAP memandang serius masalah yang dihadapi oleh petani-petani di sini dan berharap pihak kementerian dan MADA menyiasat secara menyeluruh punca sebenar kejadian ini dan mengambil tindakan berkesan bagi mengatasinya.  CAP  bimbang jika masalah tersebut berlarutan ia bukan saja menjejaskan kehidupan mereka tetapi juga bekalan makanan dan sektor pertanian negara pada masa akan datang.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 31 Mei 2023