SMK Kampong Kastam Butterworth di Pulau Pinang merupakan salah satu daripada beberapa sekolah yang terlibat dalam projek penjimatan tenaga CAP yang melihat hasil positif daripada pelbagai inisiatif penjimatan tenaga yang dilaksanakan di sekolah. Satu perbezaan besar dilihat ialah bil elektrik bulanan sekolah itu yang kini lebih rendah RM1,000 berbanding setahun sebelumnya.
Seorang guru dan beberapa pelajar dari sekolah berkongsi kisah kejayaan penjimatan tenaga mereka di bawah ini.
GURU Lydia Lirek Anyie
“Go green” dan “Jimat tenaga” sentiasa menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum sekolah kami. Amalan ini dilaksanakan melalui pelbagai projek di sekolah. Apabila CAP menghubungi kami untuk bekerjasama dalam projek penjimatan tenaga, guru dan pelajar menyambutnya dengan baik kerana kami percaya bahawa semakin banyak kita bekerjasama untuk satu matlamat, semakin berkesan hasilnya.
Pelantikan Pengawas Tenaga meningkatkan rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar. Beberapa pelajar secara peribadi datang dan meminta lencana Pengawas Tenaga daripada saya kerana mereka juga ingin memainkan peranan sebagai Pengawas Tenaga. Pengawas Tenaga ini berfungsi dengan lancar dan penuh semangat, dan hasilnya membanggakan seluruh sekolah. Kami melihat penurunan ketara dalam bil elektrik daripada purata RM5,000 pada Mei 2023 kepada purata RM4,000 pada Mei 2024. Ini adalah antara hasil positif kerjasama dengan CAP.
Di sekolah kami, lampu dan kipas dimatikan semasa rehat dan selepas waktu sekolah. Kaca berwarna gelap di bilik kakitangan memberikan perlindungan daripada panas yang melampau. Peringatan dihantar kepada semua untuk menetapkan suhu penyaman udara tidak kurang daripada 23°C. Ini membantu mengurangkan sebahagian daripada bil elektrik. Kami mengadakan taklimat mingguan untuk mengingatkan pelajar dan warga sekolah mengenai keperluan mendesak untuk menggunakan elektrik dengan bijak. Kami menjadikan aktiviti mematikan lampu dan kipas di bilik darjah sebagai satu pertandingan untuk meningkatkan penyertaan pelajar.
Kami juga memasang langsir di semua bilik darjah kami. Langsir itu dipasang dengan ukuran panjang yang tepat untuk mengelakkan haba langsung dan memperbaiki pengudaraan, selain itu ia mewujudkan suasana yang sesuai untuk pembelajaran.
Dalam semua inisiatif penjimatan tenaga, kami melibatkan pasukan hijau supaya pelajar memahami bagaimana aktiviti penjimatan tenaga dan aktiviti hijau saling berkaitan. Mereka juga perlu menyedari keperluan untuk memberikan tumpuan kepada kedua-duanya untuk mencapai hasil yang diinginkan. Projek ‘satu bilik darjah, satu tanaman’ yang dicadangkan oleh CAP telah dinaik taraf kepada ‘satu bilik darjah, satu taman’ di sekolah kami. Pelajar digalakkan untuk menggunakan bekas kitar semula seperti botol bahan pencuci, tayar dan barang-barang sedemikian untuk menanam. Bekas itu dipotong mengikut saiz dan bentuk yang diingini dan dicat dengan gambar-gambar yang cantik. Pelajar bertanggungjawab sepenuhnya dalam penjagaan tanaman dengan menyiram dan menjaganya.
Pada hujung minggu apabila sekolah ditutup, tanaman diletakkan di luar bilik darjah untuk menerima cahaya matahari yang mencukupi. Dengan pelbagai tanaman menghias bilik darjah, bekalan oksigen terjamin. Ini menyediakan persekitaran pembelajaran yang selesa untuk pelajar. Ini adalah beberapa aktiviti kami yang membantu mengurangkan penggunaan penyaman udara, walaupun sumbangannya kecil.
Bagi pelajar yang menunjukkan dedikasi dan berprestasi baik, saya memberikan penilaian untuk adab baik dalam SSDM (Sistem Sahsiah Diri Murid). Galakan daripada para guru menghasilkan prestasi cemerlang dalam kalangan pelajar, dan kami berharap untuk melihat penurunan yang berterusan dalam bil elektrik kami.
PELAJAR Tingkatan 3 Belicia Ana a/p Decruez Gabrial:
Sebagai ahli Skuad Hijau di SMK Kampong Kastam, saya menyertai aktiviti mudah seperti menutup suis lampu dan kipas. Perbuatan itu mungkin kecil, tetapi ia memainkan peranan penting dalam menjimatkan tenaga. Saya juga menyebarkan kesedaran kepada rakan-rakan sekolah mengenai penjimatan tenaga. Apabila berkomunikasi dengan pelajar lain, saya sedar bahawa mereka sedia mendengar dan memberikan kerjasama, mungkin kerana kami berada dalam kumpulan umur yang sama. Ilmu yang saya perolehi di sekolah, saya kongsikan dengan ibu saya. Dia berasa sangat gembira kerana saya adalah sebahagian daripada skuad yang mendidik mengenai penjimatan tenaga. Ibu saya mula mengamalkan beberapa panduan yang saya kongsikan dengannya seperti menunggu sehingga mesin basuh penuh untuk mencuci pakaian dan mengurangkan penggunaan pemanas untuk mandi. Kami komited dengan penjimatan tenaga bukan sahaja untuk mengurangkan bil elektrik tetapi juga untuk menyelamatkan bumi.
PELAJAR Tingkatan 3 Melissa Lee binti Muhammad Firdaus Lee
Peralatan elektrik yang paling kerap saya gunakan di rumah adalah komputer. Saya menggunakannya untuk belajar dan juga untuk hiburan. Di sekolah, peralatan elektrik yang paling kerap saya gunakan ialah kipas. Kita mengalami suhu tinggi di negara kita, dan kebanyakan daripada kita tidak dapat bertahan tanpa kipas. Namun, kipas perlu dimatikan apabila tiada sesiapa di sekitarnya. Setiap kali saya berjalan melalui bilik darjah yang kosong dan melihat kipas masih terpasang, saya akan mematikannya. Ia adalah reaksi segera saya tanpa banyak pertimbangan. Pelajar lain juga bekerjasama dengan baik untuk menjimatkan tenaga.
PELAJAR Tingkatan 5 Lee Wei Zhi
Pada mulanya, apabila guru kami memperkenalkan idea untuk menjimatkan elektrik, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah menyelamatkan alam sekitar. Kami belajar daripada guru-guru kami bahawa penjanaan elektrik menyebabkan pencemaran. Selepas mengetahui kesannya, saya kini lebih berhati-hati dan mematikan peralatan elektronik apabila tidak menggunakannya. Dengan cara itu, saya dapat membantu mengurangkan bil elektrik sekolah dan juga menyelamatkan alam sekitar. Pada Mei 2023, bil elektrik kami adalah RM5,300 dan menurun kepada RM4,092 pada Mei 2024. Kadar pengurangan kira-kira 23% membuatkan kami semua gembira kerana usaha kami mula membuahkan hasil. Seperti yang kita semua tahu, suhu bumi semakin meningkat dengan cepat. Jika kita mengamalkan penjimatan elektrik mulai sekarang, kita dapat mengurangkan kesan rumah hijau dan menyejukkan planet kita. Dengan menjimatkan elektrik, kita mengelakkan pembaziran sumber semula jadi.
PELAJAR Tingkatan 5 Ong Tze Honn
Sebagai Ketua Pengawas sekolah dan Pengerusi Majlis Skuad Hijau, saya diminta oleh guru saya, Cikgu Lydia, untuk menyertai projek itu yang bertujuan menjadikan sekolah kami tempat yang lebih hijau. Mengurangkan bil elektrik di sekolah adalah sebahagian daripada projek kami. Pada mulanya, saya berfikir, ‘Bukankah mudah untuk mengurangkan elektrik dengan hanya mematikan suis?’ Tidak lama kemudian, saya belajar bahawa ia lebih daripada sekadar mematikan suis. Ia berkaitan dengan sikap para pelajar. Kerjasama mereka adalah sangat penting dalam menentukan kejayaan tugas ini. Dalam usaha kami untuk mengurangkan penggunaan elektrik, kami mendapat sokongan daripada guru-guru dan pelajar-pelajar. Guru-guru menyebarkan kesedaran semasa perhimpunan dan menggalakkan pelajar-pelajar untuk menyertai semua program penjimatan tenaga. Saya berpuas hati kerana kebanyakan pelajar di sekolah kami mematuhi peraturan penjimatan tenaga.