
Penghadaman yang baik adalah penting untuk kesihatan. Tubuh memerlukan nutrien daripada makanan yang kita makan (karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral) dan cecair yang kita minum untuk kekal sihat dan berfungsi dengan baik.
Sistem penghadaman memecah dan menyerap nutrien ini daripada makanan dan cecair yang diambil untuk digunakan bagi perkara penting seperti tenaga, pertumbuhan dan pembaikan sel.
Langkah terakhir dalam penghadaman ialah penyingkiran kandungan makanan dan bahan buangan yang tidak tercerna. Bahan buangan terbentuk semasa sel kita berfungsi. Bahan buangan ini adalah toksik dan oleh itu perlu dikeluarkan daripada tubuh. Jika tidak dikeluarkan, ia bercampur dengan darah dan menyebabkan kerosakan pada sel-sel tubuh.
“Sistem penghadaman bekerja tanpa henti untuk memacu setiap sel dalam tubuh dan mengeluarkan bahan buangan dengan cekap. Mengabaikan sistem penghadaman boleh mendatangkan kesan buruk yang mempengaruhi setiap bahagian kehidupan,” pakar kesihatan holistik Kristen Jakobitz memberi amaran.
Lebih-lebih lagi 70% daripada sistem imun tubuh berada di saluran penghadaman, jadi mengekalkan kesihatan pencernaan adalah penting untuk kesejahteraan keseluruhan tubuh.
5 Cara Mudah untuk Menambaik Penghadaman
1. Kurangkan tekanan. Tekanan boleh menjejaskan pencernaan dan penyerapan nutrien. Apabila tertekan, perut juga terjejas. Tekanan boleh melambatkan penghadaman, menyebabkan sembelit, kerana otot usus mungkin mengecut dengan kurang cekap. Ia boleh mengurangkan fungsi penghadaman, menyebabkan pergerakan usus meningkat.
Tekanan juga cepat menggunakan nutrien dalam tindak balas tekanan dan ia boleh menghalang nutrien daripada diserap.
2. Kunyah makanan dengan baik. Mengunyah membantu mengurangkan tekanan pada esofagus dan membantu perut memetabolisme dan memecahkan makanan. Air liur juga mengandungi enzim pencernaan yang dikeluarkan apabila mengunyah yang membantu penghadaman. Mulut mengeluarkan enzim ini yang masuk ke dalam kerongkong dan perut yang meningkatkan lagi proses pencernaan.
3. Hidratkan tubuh dengan minum air. Air membantu memecahkan makanan yang dimakan, membolehkan nutriennya diserap oleh tubuh. Selepas minum, kedua-dua usus kecil dan besar menyerap air, yang bergerak ke dalam aliran darah dan juga digunakan untuk memecahkan nutrien.
4. Makan makanan yang ditapai. Dikenali sebagai sumber bakteria “baik”, makan makanan yang ditapai dengan kerap memberikan tubuh dos probiotik yang sihat iaitu mikroorganisma hidup yang penting untuk penghadaman yang baik. Saluran pencernaan kita dipenuhi dengan kira-kira 100 trilion bakteria dan mikroorganisma lain serta makanan yang ditapai membantu mengisi usus kita dengan mikrob yang baik yang membantu dalam penghadaman. Apabila dimakan dengan lemak yang sihat, makanan yang ditapai boleh membantu menyerap nutrien daripada makanan lain dan menjadikannya lebih mudah dihadam.
5. Berjalan-jalan. Berjalan selepas makan dapat menambah baik penghadaman. Berjalan merangsang perut dan usus. Ini boleh membantu makanan bergerak melalui sistem pencernaan dengan lebih cepat. Ia juga boleh membantu mengurangkan kembung perut, terutamanya bagi mereka yang mengalami sindrom usus merengsa.