Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya menolak gesaan terbaharu oleh Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) untuk mendedahkan daftar jenama rokok yang berdaftar secara sah kepada umum. Selain itu, pihak berkuasa perlu menilai secara kritis sumber dan kredibiliti dakwaan tinjauan yang dipetik oleh MSCSPGA, yang menyatakan bahawa “68.8% rakyat Malaysia yang ditinjau mengenal pasti penjual rokok haram sebagai warga asing, manakala 99% menyifatkan rokok haram sebagai mudah atau sangat mudah untuk diperoleh.”
Pertama sekali, seperti yang digambarkan oleh namanya, teras perniagaan MSCSPGA ialah makanan dan minuman, bukannya produk tembakau. Tambahan pula, persatuan ini dikenali sebagai proksi industri tembakau yang telah giat melobi dasar berkaitan tembakau sejak pertengahan tahun 2000-an.
Tuntutan untuk mendedahkan daftar jenama rokok yang berdaftar itu secara langsung melanggar Seksyen 7(1), Bahagian III Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang melarang penerbitan, pengiklanan, dan promosi produk tembakau.
Permintaan ini kelihatan seperti satu percubaan terselindung untuk menghidupkan semula satu kelompangan industri pada masa lampau. Syarikat-syarikat tembakau pernah menggunakan akhbar untuk menyiarkan senarai harga produk mereka sebagai satu bentuk pengiklanan tidak langsung. Amalan ini telah dihentikan sepenuhnya pada 2006 apabila Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan larangan menyeluruh terhadap pengiklanan, promosi, dan penajaan jenama tembakau secara langsung.
Tidak timbul sebarang keperluan untuk menerbitkan daftar jenama bagi tatapan umum. MSCSPGA sendiri menyatakan bahawa “rokok haram dianggarkan dijual pada harga kurang daripada separuh harga produk sah.” Berdasarkan pengakuan persatuan itu sendiri, pengguna dan peruncit tidak memerlukan daftar jenama untuk mengenal pasti rokok seludup. Perbezaan harganya sahaja sudah menjadikannya sangat ketara.
Di bawah peraturan negara, penjualan sebarang pek rokok berisi 20 batang pada harga di bawah harga minimum berkanun RM12.00 adalah menyalahi undang-undang. Mana-mana pek rokok yang dijual di bawah paras harga ini secara automatik melanggar undang-undang dan dianggap haram, tidak kira sama ada nama jenamanya tersenarai dalam daftar atau tidak.
Dapatan tinjauan yang diketengahkan oleh MSCSPGA berdasarkan laporan Wawasanex yang menyatakan bahawa 68.8% penjual haram merupakan warga asing menuntut tindakan penguatkuasaan yang segera dan tegas daripada pihak kerajaan. Sekiranya warga asing didapati bersalah mengendalikan atau mengedarkan produk tembakau seludup, mereka mestilah dikenakan tindakan undang-undang yang berat serta diusir keluar dari negara dengan segera.
Malaysia wajar mencontohi langkah yang diambil oleh negara seperti Australia, yang telah mengusir Kazem Hamad iaitu dalang di sebalik sindiket tembakau haram di Victoria dihantar kembali ke Iraq, di mana beliau kemudiannya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Malaysia tidak seharusnya melindungi atau membenarkan pelawat asing untuk terus berada di negara ini sekiranya mereka tidak mematuhi dan melanggar undang-undang negara.
Akhir sekali, kajian yang dipetik oleh Wawasanex itu sangat meragukan dari pelbagai sudut. Pengasas, merangkap Pengarah Urusan Wawasanex, Tarmizi Anuwar, pada masa yang sama memegang jawatan sebagai Rakan Sekutu Negara (Country Associate) bagi Consumer Choice Center (CCC) di Malaysia.
Menurut siasatan oleh Kumpulan Penyelidikan Kawalan Tembakau (Tobacco Control Research Group) di Universiti Bath (UK), Consumer Choice Center yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) merupakan sebuah ‘kumpulan hadapan’ (front group) yang didokumentasikan dengan jelas sebagai penerima dana daripada syarikat-syarikat tembakau transnasional utama. Sebarang tinjauan yang berpunca daripada atau dikaitkan dengan entiti yang dibiayai oleh industri itu mestilah dipandang dengan penuh keraguan dan tidak seharusnya dijadikan asas bagi dasar kesihatan awam negara.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 4 Ogos 2026


