Mengapa Anda Perlu Risau tentang BPA?

 Bisphenol A (BPA) adalah bahan kimia sintetik yang digunakan dalam pelbagai produk seperti cat epoksi dan gam, lapisan dalam tin makanan, serta resit kertas haba. BPA juga digunakan sebagai blok binaan dalam plastik polikarbonat yang boleh digunakan untuk membuat bekas makanan dan botol bayi, walaupun BPA diketahui sebagai bahan kimia yang mengganggu sistem endokrin (EDC).

Kebimbangan tentang kesan BPA terhadap kesihatan telah dibangkitkan, terutamanya mengenai kesannya terhadap janin, bayi, dan kanak-kanak. Kajian menunjukkan bahawa pendedahan kepada BPA boleh mempengaruhi perkembangan otak dan kelenjar prostat pada janin, bayi, dan kanak-kanak.

Pendedahan kepada BPA juga dikaitkan dengan perubahan tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak. Ini termasuklah tindak balas yang berubah terhadap rangsangan persekitaran, peningkatan kebimbangan, dan hiperaktif. Kesan tingkah laku sebegini dipercayai berpunca daripada gangguan BPA terhadap perkembangan otak yang normal semasa tempoh pertumbuhan kritikal.

Tambahan pula, pendedahan kepada BPA dikaitkan dengan pelbagai kesan neurologi lain termasuk mengganggu fungsi yang penting bagi pembelajaran dan ingatan. Pendedahan jangka panjang kepada BPA mungkin meningkatkan risiko mengalami gangguan perkembangan saraf.

Kajian juga mencadangkan bahawa pendedahan kepada BPA mungkin menyumbang kepada penyakit kardiovaskular, diabetes jenis 2, dan tekanan darah tinggi. Keupayaan BPA untuk mengganggu fungsi endokrin boleh menyebabkan perubahan metabolik yang meningkatkan risiko keadaan ini. Contohnya, BPA didapati mempengaruhi pengawalan tekanan darah dan rintangan insulin, yang merupakan faktor penting dalam kesihatan kardiovaskular dan metabolik.

Sekatan Undang-undang ke atas BPA di Malaysia, China, Indonesia, EU dan AS. Sumber: IPEN

BPA Dihadkan di Beberapa Negara, termasuk Malaysia.

Kebimbangan mengenai kesihatan dan alam sekitar mendorong banyak negara untuk mengehadkan penggunaan BPA dalam botol susu bayi dan barangan lain yang bersentuhan dengan makanan kanak-kanak atau dimasukkan ke dalam mulut kanak-kanak.

Di Malaysia, menurut Peraturan 27A Peraturan-Peraturan Makanan 1985:

(1) Tiada seorang pun boleh mengimport, mengilang atau mengiklankan untuk jualan atau menjual apa-apa botol susu yang mengandungi Bisphenol A (BPA).

(2) perkataan “bebas BPA” boleh dilabelkan pada botol susu atau bungkusan botol susu yang tidak mengandungi Bisphenol A (BPA).

Di Kesatuan Eropah (EU), BPA diharamkan daripada digunakan dalam botol bayi pada tahun 2011, berdasarkan bukti bahawa sistem metabolik bayi lebih rentan daripada sistem metabolik orang dewasa. EU juga mengenakan had maksimum pemindahan BPA daripada bahan sentuhan makanan ke dalam makanan. Tambahan pula, BPA disenaraikan sebagai “bahan yang sangat membimbangkan” kerana sifatnya yang mengganggu endokrin bagi kesihatan manusia dan alam sekitar.

Di China, BPA dilarang dalam botol susu bayi polikarbonat dan botol susu bayi yang lain sejak 2011. Di Indonesia, kepekatan BPA yang dibenarkan dalam bahan sentuhan makanan tidak boleh lebih tinggi daripada 600 μg/kg.

BPA dalam Produk Kanak-kanak

Dalam kajian oleh IPEN, BPA didapati hadir dalam produk kanak-kanak di pelbagai negara, termasuk Malaysia.

78% sampel mengandungi BPA: 76 daripada 98 sampel yang dianalisis mengandungi BPA melebihi had kuantifikasi (LOQ). Sampel yang dikumpul dari Bangladesh, Bhutan, Malaysia, Sri Lanka, Tanzania, China, Indonesia dan Rusia termasuk botol susu bayi dan barangan lain yang bersentuhan dengan makanan atau mulut kanak-kanak yang ditandakan diperbuat daripada polikarbonat, polipropilena, gabungan kedua-dua bahan itu, atau silikon.

BPA dikesan dalam kesemua 9 sampel botol polikarbonat dari Malaysia yang diuji. Jumlah BPA yang dikesan dalam sampel dari Malaysia adalah antara 0.3 – 5.8 ppb (bahagian per bilion).

Pelabelan tidak tepat: 14 daripada 23 (61%) produk telah dilabel “Bebas BPA” atau “0% BPA” walaupun ia mengandungi BPA. Satu botol susu bayi (“Botol susu Minitree Regular Neck”), dibuat di China dan dibeli di Malaysia yang mengandungi 2.6 ppb BPA  telah dilabelkan “BPA-free”,maka melanggar larangan Malaysia. Jurang kawal selia di sesetengah negara mengakibatkan pengawasan yang tidak mencukupi mengenai ketepatan dakwaan “Bebas BPA”. Dalam kes tertentu, pengeluar mungkin sengaja menyalahlabelkan produk untuk memenuhi permintaan pengguna bagi mendapatkan produk yang lebih selamat dan tidak toksik.

Pelanggaran undang-undang

Kepentingan pematuhan kepada perundangan tidak boleh dipertikaikan. Pematuhan ketat kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa membantu melindungi pengguna, terutamanya penduduk yang rentan seperti bayi, daripada bahan berbahaya. Memastikan  produk memenuhi piawaian kawal selia akan mengekalkan integriti dan kepercayaan kepada pasaran. Label yang tidak tepat dan pelanggaran peraturan boleh menjejaskan keyakinan pengguna dan menimbulkan risiko kesihatan yang ketara.

Status undang-undang sampel lain: Dua botol susu bayi yang dibuat di India, kedua-duanya tidak mematuhi undang-undang India telah dipasarkan di Bhutan. Penggunaan BPA dalam botol susu bayi dilarang mengikut IS 14625:2015 oleh Biro Piawaian India (BIS) (2015).

Status undang-undang BPA dalam pelbagai produk bergantung kepada peraturan serantau. Sampel yang mengandungi BPA melebihi had pengesanan (LOQ) mungkin masih sah jika mematuhi kepekatan nilai ambang tertentu yang ditetapkan oleh rantau yang berbeza. Barangan yang tidak dirangkumi oleh peraturan BPA, seperti beberapa mainan atau produk industri, kekal sah walaupun mengandungi BPA. Tambahan pula, rantau yang tidak mempunyai undang-undang khusus mengenai BPA membenarkan produk dengan BPA melebihi LOQ dijual secara sah, menyerlahkan lagi keperluan bagi peraturan global yang lebih komprehensif.

Kepekatan BPA Tertinggi

BPA boleh diekstrak: Ini merujuk kepada jumlah BPA yang boleh diekstrak daripada produk di bawah keadaan tertentu. Kepekatan BPA boleh diekstrak yang tertinggi direkodkan ialah 50,292 ng/L, ditemui dalam sampel dari China. Kepekatan tinggi ini menunjukkan jumlah BPA yang ketara dalam produk, yang boleh menimbulkan risiko kesihatan jika produk itu digunakan atau dimakan.

BPA larut resap: Ini mengukur jumlah BPA yang melarut resap daripada produk ke dalam perantara lain, seperti makanan atau minuman. Kepekatan BPA melarut resap tertinggi yang ditemui ialah 12 µg/kg dalam botol bayi dari Bangladesh. Paras BPA yang melarut resap ini amat membimbangkan, terutamanya bagi produk yang digunakan oleh bayi, memandangkan pendedahan berpanjangan kepada BPA boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Haramkan Bisphenol Secara Berkumpulan

Adalah mengejutkan bahawa begitu banyak produk disalah-label sebagai bebas BPA. Ibu bapa yang prihatin diperdaya untuk membeli produk yang boleh membahayakan bayi mereka. Kita memerlukan peraturan dan penguatkuasaan ketat bagi pelabelan bahan kimia beracun dalam produk pengguna. Sangat membimbangkan apabila mendapati BPA, bahan kimia toksik yang tiada paras  pendedahan yang selamat, dalam produk yang direka khas bagi kanak-kanak.

Kita perlu menyokong dan memastikan bahawa semua bahan kimia bisphenol diharamkan secara berkumpulan, bagi mengelakkan penggantian bahan kimia toksik dengan yang lain. Mendedahkan anak-anak kita kepada pengganggu endokrin seperti BPA akan menjejaskan perkembangan mereka, dan ia perlu dielakkan dengan apa cara sekalipun.

Rujukan:

A Call to Action: Free Children from BPA’s Toxic Legacy. (n.d.). IPEN.
https://ipen.org/documents/call-action-free-children-bpas-toxic-legacy

Jeon, G. W. (n.d.). Bisphenol A leaching from polycarbonate baby bottles into baby food causes potential health issues. NCBI.
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC9441614/

Toxic chemical found in Malaysian water bottles: Enforce ban on bottles containing BPA. Consumers Association Penang. (2022, February 22).
https://consumer.org.my/ms/bahan-kimia-toksik-ditemui-dalam-botol-air-dari-malaysia-kuatkuasakan-pengharaman-ke-atas-botol-mengandungi-bpa/