MENGAPA KEBAIKAN ITU PENTING

Dalai Lama pernah berkata, “Berbuat baiklah pada bila-bila masa yang mungkin. Ia sentiasa boleh dilakukan.” Sesungguhnya, kebaikan ialah bahasa sejagat yang boleh dituturkan oleh sesiapa sahaja. Berikut adalah pelbagai cara untuk menunjukkan kebaikan.

BERBUAT BAIK KEPADA MANUSIA. Tindakan yang penuh kebaikan mampu menjadikan dunia ini tempat yang lebih bahagia untuk semua orang. “Kebaikan ialah bahasa yang boleh didengar oleh orang pekak dan dilihat oleh orang buta,” kata penulis cerita terkenal, Mark Twain. Kita sering memandang rendah kuasa sentuhan, senyuman, kata-kata yang baik, kesediaan untuk mendengar, pujian yang ikhlas, atau tindakan keprihatinan yang paling kecil sekalipun yang semuanya berpotensi mengubah kehidupan seseorang, kata pendidik dan penulis terkemuka Leo Buscaglia,.

BERBUAT BAIK KEPADA HAIWAN DAN TUMBUHAN. Bersikap baiklah kepada semua makhluk, bukan hanya sesama manusia. Berbuat baiklah kepada segala yang bernyawa, menurut satu peribahasa Orang Asli Amerika. Kebaikan boleh berupa apa sahaja daripada menyiram pokok hinggalah memberi makan kepada haiwan terbiar. Haiwan juga mempunyai hati yang berperasaan, mata yang melihat, dan keluarga untuk disayangi, sama seperti manusia dan nyawa mereka tidak kurang berharganya berbanding nyawa kita. Pokok juga umpama kita; akarnya mencengkam bumi manakala puncaknya menjulang ke langit.

BERBUAT BAIK TERHADAP PLANET. Berbuat baik melangkaui interaksi dengan orang lain. Adakah anda mengambil berat mengenai alam sekitar? Adakah anda menunjukkannya dengan menggunakan semula beg barangan runcit, membuang sampah ke dalam tong sampah, dan memungut sampah yang ditemui di jalanan? Adakah anda mengeringkan pakaian dengan cara menjemurnya dan bukannya menggunakan mesin pengering, berjalan kaki atau berbasikal dan bukannya menumpang kenderaan orang lain, mendermakan pakaian kepada badan amal atau mainan kepada hospital kanak-kanak, membeli barangan terpakai untuk diri sendiri, serta memadamkan lampu apabila meninggalkan bilik yang kosong? Inisiatif kecil ini membentuk tabiat gaya hidup yang mencerminkan kehidupan yang berkualiti, baik pada peringkat peribadi mahupun sebagai sebahagian daripada komuniti (sumber: The Parents’ Guide to).

BERBUAT BAIK TERHADAP DIRI SENDIRI. Berbuat baik terhadap diri sendiri juga penting. Anda tidak boleh memberi kepada orang lain jika diri anda sendiri kosong. Berbuat baiklah terhadap diri sendiri iaitu dari segi pemikiran, kata-kata, dan tindakan. Kemudian, biarkan sifat baik anda melimpah dan memberi manfaat kepada dunia.