TUBUH ANDA, HAK CIPTA ANDA

Gambar: Unbox Factory

Denmark Mencadangkan Undang-undang Baharu untuk Membolehkan Rakyat Memiliki Hak Cipta ke Atas Wajah, Suara & Tubuh Mereka Terhadap AI

Memandangkan kecerdasan buatan (AI) menjadi semakin canggih, satu masalah baharu sedang menular di internet: deepfakes AI. Teknologi ini kini mampu menghasilkan video dan audio yang sangat realistik yang boleh meniru individu sebenar dengan sempurna meliputi wajah, suara, dan pergerakan mereka sehingga sering kali tanpa pengetahuan atau kebenaran mereka.

Dalam satu langkah perintis, penggubal undang-undang Denmark sedang berusaha untuk  melindungi individu daripada peniruan identiti digital dan penyalahgunaannya. Denmark sedang mengambil tindakan tegas terhadap deepfakes janaan AI dengan meminda undang-undang hak cipta bagi memberikan rakyatnya hak pemilikan sah ke atas wajah, tubuh, dan suara mereka.

Konsepnya mudah namun berkesan: identiti anda seharusnya menjadi milik anda. Cadangan ini akan membolehkan orang ramai mengambil tindakan undang-undang sekiranya imej atau suara mereka digunakan tanpa kebenaran dalam kandungan janaan AI. Ini termasuklah video yang telah dimanipulasi, suara yang ditiru, atau kenyataan awam yang direka-reka.

Undang-undang ini memberikan hak kepada warganegara untuk menuntut penyingkiran segera deepfakes, tanpa mengira tujuan penggunaannya. Selain itu, individu yang terjejas boleh menuntut ganti rugi atas penggunaan imej mereka tanpa kebenaran, walaupun tanpa bukti berlakunya kerosakan terhadap reputasi. Perlindungan ini berterusan sehingga 50 tahun selepas kematian individu itu.

Perundangan ini digubal berdasarkan prinsip hak cipta dengan menganggap ciri-ciri identiti peribadi sebagai aset yang dilindungi. Platform seperti Meta dan X berdepan dengan denda yang besar sekiranya gagal bertindak balas terhadap laporan mengenai deepfakes dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Pada masa lalu, undang-undang hak cipta kebanyakannya melindungi karya seperti muzik, filem, buku, dan hasil seni. Namun, cadangan ini akan memperluas perlindungan serupa kepada sesuatu yang lebih bersifat peribadi iaitu identiti manusia itu sendiri.

Penyokong berpendapat bahawa undang-undang ini boleh membantu melindungi orang ramai daripada penyamaran digital, kecurian identiti, dan penyebaran maklumat salah dalam dunia yang membolehkan teknologi meniru seseorang dalam masa beberapa saat sahaja. Walau bagaimanapun, pihak yang mengkritik mempersoalkan bagaimana penguatkuasaan akan dilaksanakan merentasi sempadan serta sama ada ia mungkin bertentangan dengan undang-undang kebebasan bersuara.

Langkah ini meletakkan Denmark di barisan hadapan dalam perbahasan global yang semakin berkembang mengenai peraturan kecerdasan buatan (AI). Memandangkan teknologi deepfakes menjadi semakin murah dan mudah diakses, pelbagai negara kini perlu menentukan pihak yang memiliki hak ke atas identiti digital.

Inisiatif Denmark ini merupakan antara usaha terawal untuk menangani secara langsung isu pemilikan identiti digital.

Jika diluluskan, pendekatan Denmark boleh menjadi model global bagi hak asasi manusia dalam ruang digital, menunjukkan bagaimana sesebuah negara dapat melindungi rakyatnya pada era di mana teknologi mampu menghasilkan semula imej seseorang dengan ketepatan yang hampir sempurna.

Ini kerana dalam era kecerdasan buatan (AI), langkah melindungi data mungkin tidak lagi memadai.

Apakah itu Deepfakes?

Deepfakes menggunakan teknologi AI untuk menghasilkan imej, video dan rakaman audio palsu yang kelihatan sangat tulen. Istilah ini terbentuk daripada gabungan perkataan “deep learning” (pembelajaran mendalam) dan “fake” (palsu), serta merujuk kepada kedua-dua teknologi AI yang digunakan dan kandungan yang terhasil daripadanya.

Deepfakes sama ada mengubah kandungan sedia ada seperti menggantikan wajah Michael J. Fox dengan wajah Tom Holland dalam klip filem Back to the Future atau menghasilkan kandungan baharu yang memaparkan seseorang sedang berkata atau melakukan sesuatu yang sebenarnya tidak pernah mereka lakukan.

Walaupun teknologi ini mempunyai kegunaan yang sah dalam bidang hiburan dan media, ia juga menimbulkan kebimbangan serius mengenai privasi, penyebaran maklumat salah, dan kecurian identiti.

Deepfakes boleh berkisar daripada sesuatu yang melucukan dan tidak masuk akal hinggalah kepada sesuatu yang bersifat manipulatif dan berbahaya. Dalam sesetengah kes, deepfakes telah digunakan untuk tujuan penipuan, penyebaran berita palsu, manipulasi politik, atau penghasilan kandungan dalam talian yang mengelirukan.

Sumber: TechTimes; The Investigative; WeForum; Unbox Factory; 5 Unknown Facts