Kira-kira 2,000 penduduk di tiga buah kampung daerah Kubang Pasu, Kedah terpaksa berhadapan dengan berbagai kesukaran kerana jalan yang menjadi laluan penting untuk mereka menjalankan aktiviti harian rosak teruk dan membahayakan.
Tinjauan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati jalan yang dimaksudkan bukan saja tidak rata malah telah pecah dan berlopak di permukaannya. Jalan sepanjang hampir 10 kilometer di sini melibatkan Kampung Kuala Kerpan, Kampung Matang Mahang dan Kampung Matang Bongor.
Selain pesawah yang menggunakan jalan ini setiap hari, para pelajar sekolah adalah antara pengguna yang terpaksa mengharungi laluan sukar ketika berulang alik melalui jalan itu terutama ketika hujan.
CAP difahamkan kerosakan jalan yang dialami oleh penduduk-penduduk di kawasan itu telah lama berlaku tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh mana-mana pihak berwajib membaikinya.
Jalan-jalan tersebut mudah mendap dan kerap rosak ialah kerana sering dilalui oleh kenderaan berat seperti jentuai padi, traktor dan lori.
Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan Kedah, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini.
CAP berpendapat, adalah wajar kemudahan asas untuk penduduk luar bandar diberi keutamaan oleh pihak kerajaan kerana golongan yang terlibat dengan masalah ini merupakan penyumbang bekalan makanan untuk rakyat dan ekonomi negara.
CAP bimbang jika keadaan jalan tersebut dibiarkan ia bukan saja menjejaskan aktiviti persawahan oleh penduduk tempatan malah kejadian yang tidak diingini melibatkan pengguna lain juga boleh berlaku pada masa akan datang.
“Di samping memastikan kualiti dan kerja-kerja baik pulih jalan berkenaan berada pada tahap yang memuaskan oleh pihak berkenaan, orang ramai terutama mereka yang menggunakan kenderaan berat juga perlu bertanggungjawab terhadap perkara ini,” tegas CAP.
Kenyataan Media, 21 Mac 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/