Minggu Tindakan Hijau CAP 2025: Panduan untuk Bebas daripada Plastik

Minggu Tindakan Hijau (GAW) merupakan kempen global yang bertujuan untuk mempromosikan penggunaan mampan di seluruh dunia. Ia disambut antara September dan November pada setiap tahun. Para peserta yang terlibat di dalam kempen ini mempamerkan cara kreatif untuk membawa perubahan dengan mengamalkan perkongsian, dan akses kepada sumber.

Melalui pelbagai aktiviti seperti bengkel interaktif mengenai kehidupan mampan di samping memupuk komuniti perkongsian, kempen ini menggalakkan kerjasama dan penggunaan yang penuh kesedaran untuk mengurangkan kesan negatif kepada bumi sambil menjana manfaat sosial bagi semua.

Sempena Minggu Tindakan Hijau 2025, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat berbesar hati mempersembahkan tema tahun ini “Toksik dalam Plastik – Bagaimana untuk Hidup Bebas daripada Plastik?” untuk mempamerkan konsep Komuniti Berkongsi.

Plastik menawarkan kemudahan tetapi lazimnya toksik, kerana ia menimbulkan risiko kepada kesihatan dan alam sekitar. Bahan kimia berbahaya boleh melarut resap ke dalam makanan dan air kita. Mikroplastik ditemui sepanjang kehidupan seharian kita dalam udara yang kita sedut, makanan dan minuman yang kita makan, dan produk yang kita gunakan.

Produk plastik telah menjadi komponen penting dalam kehidupan moden. Ia tahan lama dan boleh dibentuk kepada hampir semua bentuk, saiz atau warna. Walau bagaimanapun, plastik bukanlah bahan lengai, dan ianya berbahaya kerana bahan kimia yang terkandung di dalamnya merbahayakan manusia. Persepsi bahawa plastik adalah selamat sepenuhnya adalah tidak betul.

Plastik mengandungi pelbagai bahan tambahan toksik, seperti pemplastik, yang menimbulkan risiko serius kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Selain itu, barangan plastik yang tercemar dengan makanan, bahan kimia atau bahan lain selalunya sukar atau bahkan mustahil untuk dikitar semula. Di peringkat global, kurang daripada 10% sisa plastik sebenarnya dikitar semula. Tanggapan umum yang salah ialah semua plastik boleh dikitar semula, tanpa mengira jenis atau keadaannya. Dengan mengurangkan plastik sekali guna dan memilih alternatif semula jadi, kita boleh melindungi planet kita dan menjaga kesejahteraan generasi akan datang.

Sebagai sebahagian daripada GAW 2025, CAP akan menganjurkan acara perkongsian benih. Kami dengan sukacitanya menjemput orang ramai untuk membawa bersama benih tumbuhan, anak pokok dan keratan batang pokok ke pejabat CAP, untuk dikongsi bersama dengan komuniti.

Acara ini juga merangkumi demonstrasi mengenai kehidupan lestari dan cara membebaskan diri daripada pergantungan kepada plastik. Ini termasuk:

  • Menggunakan bahan semula jadi untuk menyimpan buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Pembungkusan dengan menggunakan daun pisang
  • Memasak dengan menggunakan bahan semula jadi (contohnya untuk mengukus makanan)
  • Membuat penyapu dan syampu daripada bahan semula jadi

Sehubungan itu, kami amat menggalakkan orang ramai mendaftar untuk menghadiri acara GAW 2025 pada 13 September 2025 di pejabat CAP untuk mendapat panduan mudah dan praktik untuk mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 11 September 2025