MINYAK MASAK DIJUAL MELEBIHI HARGA JUALAN

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar mengambil tindakan segera terhadap peniaga yang menjual minyak masak dalam botol pada kadar melebihi harga siling yang telah ditetapkan oleh kerajaan pada 8 Ogos 2022.

Ada peniaga yang sudah menjual minyak masak dalam botol ini dengan harga yang telah ditetapkan. Bagaimanapun, dalam tinjauan terbaharu kami menunjukkan bahawa ada sesetengah peniaga masih menjual minyak masak dalam botol pada harga lama iaitu RM45.29 untuk botol 5kg, ini melanggar arahan KPDNHEP untuk menjualnya pada harga siling iaitu RM34.70. Minyak masak botol 2kg pula dijual pada harga RM18.15 setiap satu berbanding harga siling yang ditetapkan pada RM14.70.

Pengusaha perniagaan memberi alasan bahawa mereka terpaksa menjual pada harga yang tinggi kerana perlu menghabiskan stok lama yang dibeli dengan harga yang tinggi sebelum keputusan menetapkan harga siling pada setiap bulan dibuat. Adakah pengusaha perniagaan ini akan terus menjual minyak masak pada harga yang lebih rendah sehingga stok sedia ada mereka itu habis jika kerajaan memutuskan untuk menaikkan harganya pada bulan ini?

Sehubungan itu, CAP menggesa agar tindakan lebih tegas diambil oleh kerajaan supaya sekumpulan peniaga tidak bertanggungjawab ini tidak mengeksploitasi pengguna.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 11 Ogos 2022