NELAYAN PANTAI LANGKAWI BANTAH PROJEK TAMBAK LAUT

Pangkalan nelayan Sungai Menghulu, Kuah, Langkawi.

Beratus nelayan yang mencari rezeki di sepanjang pantai Kelibang hingga ke Sungai Menghulu dekat Kuah Pulau Langkawi Kedah berada dalam kebimbangan setelah menerima notis pengambilan tanah dari Pejabat Tanah Langkawi (PTL) bagi melaksanakan projek penambakan laut di kawasan tersebut.

Dalam tinjauan yang dibuat, CAP difahamkan, nelayan-nelayan pantai Kuah, Kelibang dan Sungai Menghulu yang mencari rezeki di kawasan berkenaan membantah keputusan itu kerana ia boleh mengancam alam sekitar dan menjejaskan mata pencarian mereka.

Sekarang nelayan-nelayan di sini memperolehi pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan hasil tangkapan ikan dan udang. Manakala pemungut siput pula memperolehi pendapatan antara RM40 hingga RM70 sehari.

Zulkifli Che Hasin.

 

Zulkfli Shamsudin.

Seorang nelayan Zulkifli Shamsudin, 50, berkata beliau terkejut dengan notis pengambilan tanah di kawasan ini dan hairan mengapa perkara tersebut berlaku tanpa pengetahuan mereka.

Zulkifli kesal kerana keputusan itu dibuat tanpa mengambil kira kesan buruk yang akan berlaku dan terpaksa dihadapi mereka dan penduduk tempatan pada masa akan datang. “Kami bukan saja akan kehilangan sumber pendapatan, mungkin juga terpaksa berpindah ke tempat lain” tegasnya.

Pengerusi Komuniti Nelayan Sungai Kelibang Zulkifli Che Hasin memberitahu, surat bantahan bersama tandatangan nelayan-nelayan yang terlibat telah dihantar kepada Pejabat Daerah Langkawi dan berharap hasrat mereka dan penduduk tempatan diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan.

Seorang nelayan menunjukkan kawasan yang akan ditambak.

Menurutnya, masalah nelayan-nelayan di kawasan ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan memandangkan mereka bergantung hidup sepenuhnya kepada hasil laut bagi menyara kehidupan keluarga.

CAP yang bersimpati dengan nelayan-nelayan di kawasan berkenaan turut membantah keputusan itu dan menggesa kerajaan Kedah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jabatan-jabatan berkenaan dan agensi berkaitan mengkaji secara terperinci mengenai perkara ini.

CAP percaya jika projek tersebut terlaksana bukan saja alam sekitar semulajadi akan musnah malah hidupan laut dan kehidupan masyarakat nelayan akan turut menjadi mangsa.

CAP berpendapat sebelum keputusan mengenai perkara ini dibuat Kerajaan Kedah sepatutnya mendedahkan rancangan awal, hasil kajian dan perkembangan semasa mengenai projek itu kepada umum terutama penduduk tempatan yang berhak menyuarakan pandangan mereka.

 

Kenyataan Media, 17 Januari 2022