Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia (WNTD), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut menyertai negara lain di dunia dalam menyambut Hari Tanpa Tembakau Sedunia (WNTD) yang jatuh pada 31 Mei 2022. Tema WNTD untuk tahun ini ialah “Tembakau: Ancaman kepada alam sekitar kita”.
Puntung rokok adalah sampah yang paling biasa yang sering tidak disedari dan ia dibuang merata-rata seperti di jalan raya, taman, pantai, dan juga pasu bunga. Malah, dianggarkan 4.5 trilion puntung rokok dibuang setiap tahun di seluruh dunia.
Di Malaysia, perokok sering terlepas daripada tindakan kerana membuang sampah ini dan ia membantu untuk menguatkan lagi tabiat mereka. Kami menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk mendenda mereka yang membuang puntung rokok atau menghisap rokok di zon yang tidak ditetapkan dengan bekerjasama dengan majlis tempatan yang mengendalikan kamera litar tertutup.
Dalam kajian baru-baru ini, CAP mendapati persimpangan lampu isyarat adalah menjadi tempat ‘kegemaran’ perokok untuk membuang puntung rokok mereka dan hampir kesemuanya dengan penapis. Penjelasan yang paling mudah untuk mereka membuangnya di persimpangan lampu isyarat ialah perokok cepat menghabiskan sedutan mereka sementara menunggu lampu bertukar hijau dan membuang puntung rokok di situ adalah satu pilihan yang mudah.
Penapis rokok telah diperkenalkan pada tahun 1950-an dan ia bertujuan untuk memberikan rasa selamat yang palsu kepada perokok bahawa rokok itu lebih selamat. Sebenarnya mereka tidak menjadikan merokok lebih selamat kerana bahan kimia berbahaya masih dihantar ke paru-paru.
Seterusnya, penapis rokok terdiri daripada gentian selulosa asetat plastik yang mungkin mengambil masa sehingga 10 tahun untuk degradasi sepenuhnya. Dalam pada itu, bahan kimia toksik yang sebahagiannya terperangkap oleh serat asetat selulosa melarut resap ke dalam persekitaran dan antara bahan kimia tersebut ialah nikotin.
Jumlah nikotin yang terdapat dalam enam puntung rokok sudah cukup untuk menyebabkan seorang kanak-kanak dimasukkan ke hospital. Ini tidak termasuk bahan kimia lain seperti arsenik, formaldehid, hidrokarbon aromatik polisiklik dan logam berat.
Puntung rokok yang sering dibuang akan memasuki sistem saliran ke tasik atau laut. Kajian menunjukkan bahawa puntung rokok dalam sembilan liter air sudah cukup untuk membunuh kutu air, krustasea kecil yang terdapat dalam air tawar dan air masin. Hidupan liar juga boleh diracuni selepas tersilap memakan puntung rokok sebagai makanan.
Jangan lupa bahawa walaupun perokok membuang puntung rokok mereka ke dalam tong sampah yang betul untuk dilupuskan, puntung rokok itu juga akan berakhir di tapak pelupusan.
Merokok adalah tabiat yang membazir dan memudaratkan. Oleh itu, kami menggesa perokok untuk berhenti daripada ketagihan nikotin dengan mendaftarkan diri mereka di JomQuit (https://jomquit.com/), program berhenti merokok oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 30 Mei 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/