Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan berita penahanan seorang pakar pediatrik terkenal Palestin, Dr Hussam Abu Safiya, oleh rejim tentera Israel. Keberadaannya sehingga kini masih menjadi tanda tanya, dan penahanannya mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatannya.
Siapakah Dr Hussam Abu Safiya?
Dr Hussam Abu Safiya bukan sekadar seorang doktor. Beliau ialah Pengarah Hospital Kamal Adwan, sebuah institusi kesihatan utama di Gaza yang sering menjadi sasaran serangan. Sebagai seorang pakar pediatrik, beliau telah berdedikasi merawat kanak-kanak yang menjadi mangsa konflik, meskipun hospital tempatnya berkhidmat sering diserang tanpa belas kasihan.
Namun, Dr Hussam bukan hanya seorang doktor di bilik rawatan. Beliau adalah suara rakyat Gaza, seorang yang berani melawan ketidakadilan. Dalam beberapa bulan terakhir, beliau aktif memuat naik video di media sosial, menyeru masyarakat antarabangsa bertindak menghentikan serangan ke atas hospital dan sistem kesihatan Gaza. Suaranya lantang, tetapi keberanian itu akhirnya membawa risiko besar kepada dirinya.
Pada hari beliau ditangkap, saksi melaporkan tentera Israel menyerbu dan memukul beliau dengan kejam sebelum membawanya pergi. Tindakannya telah menjadikannya ancaman besar kepada rejim, tetapi bagi rakyat Palestin, beliau adalah wira yang tidak kenal gentar. Kini, dunia hanya mampu menunggu dengan cemas, bimbang beliau akan menjadi mangsa penyeksaan seperti ramai tahanan Palestin sebelum ini.
Penahanan Dr Hussam mengingatkan kita kepada tragedi Dr Adnan Al-Bursh, Ketua Jabatan Ortopedik di Hospital Al-Shifa, yang meninggal dunia dalam tahanan pada April 2024. Selepas empat bulan ditahan, beliau ditemui tidak sedarkan diri dan dipukul sehingga meninggal dunia. Kisah beliau menjadi contoh kezaliman yang tersusun yang dihadapi oleh petugas kesihatan di Palestin.
Bukan mudah menjadi seorang doktor di Gaza. Selain berhadapan dengan kekurangan kemudahan perubatan, mereka turut menjadi sasaran langsung oleh rejim. Ironinya, mereka yang berdedikasi menyelamatkan nyawa tanpa mengira bangsa atau agama dianggap musuh hanya kerana keberanian mereka menyuarakan keadilan.
Bagi kita yang hidup dalam keadaan aman, kisah ini harus menyedarkan betapa pentingnya menghargai keamanan yang kita kecapi pada hari ini. Kita sering menganggap tugas seorang doktor hanya untuk merawat pesakit, namun kisah Dr Hussam mengingatkan kita bahawa seorang doktor juga boleh menjadi simbol perjuangan – mempertahankan hak asasi manusia di tengah kekejaman.
Sebagai masyarakat antarabangsa, kita juga memainkan peranan penting. Walaupun kita jauh dari bumi Gaza, kita boleh membantu melalui solidariti – dengan menyebarkan maklumat, meningkatkan kesedaran, dan memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk melindungi petugas kesihatan yang tidak bersalah.
Hari ini, Dr Hussam Abu Safiya dan rakan-rakannya di Gaza menggalas beban yang sangat berat. Namun, kisah mereka juga membawa satu mesej penting: dalam setiap stetoskop dan skrub, terdapat keberanian yang digeruni musuh. Adakah kita hanya mahu menjadi pemerhati, atau turut sama berdiri menyokong perjuangan ini?