Pantai Pasir Panjang musnah terhakis dibadai ombak: CAP

Tebing yang runtuh telah menghampiri bangunan Kem Wawasan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam tinjauan yang dibuat mendapati Pantai Pasir Panjang, di Balik Pulau, Pulau Pinang kini mengalami kemusnahan yang serius akibat dibadai ombak.

Kejadian yang berlaku sejak setahun yang lalu itu telah menyebabkan tebing sepanjang 300 meter di kawasan berkenaan telah runtuh. Beberapa batang pokok kelapa dan pokok rhu telah musnah dan lebih 20 pokok lagi sedang menunggu masa akan tumbang.

Pokok rhu yang tumbang akibat hakisan yang berlaku.

Selain itu Kem Wawasan Negara berhampiran pantai ini terdedah kepada keadaan yang amat merbahaya kerana kesan hakisan yang berlaku hampir menjejaskan beberapa bangunan di kawasan tersebut.

Manakala tangga untuk laluan pengunjung ke pantai ini juga telah rosak dan terdapat banyak sisa batu berselerak di sepanjang pantai berkenaan. CAP kesal dan bimbang walau pun masalah ini sudah lama berlaku namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berwajib bagi menanganinya.

Keadaan pokok kelapa di Pantai Pasir Panjang yang diancam hakisan.

CAP percaya jika keadaan tersebut dibiarkan alam sekitar di kawasan ini akan terancam dengan lebih teruk lagi dan kejadian yang tidak di ingini mungkin berlaku serta menjejaskan keselamatan orang ramai.

Justeru, CAP menggesa kerajaan Pulau Pinang, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi punca masalah ini.

CAP meminta pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil kepada umum dengan secepat mungkin.

 

Kenyataan Media,  28 Februari 2022