Pantai Teluk Nipah dicemari sisa lumpur : CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Pejabat Daerah Kuala Muda dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi pencemaran lumpur di Kampung Teluk Nipah dekat Pantai Merdeka di sini.

Masalah yang berpunca dari hakisan tanah dari bukit berhampiran telah menyebabkan kawasan nelayan-nelayan pantai di sini melabuhkan bot dan mendaratkan hasil tangkapan mereka terancam.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati air laut di sini telah bertukar warna menjadi merah dan lebih ketara ketika hujan. Di samping mencemarkan air laut, mendapan lumpur turut berlaku di kawasan berkenaan.

CAP kesal dengan kejadian ini dan jika dibiarkan kesan yang lebih buruk akan berlaku pada masa akan datang. Selain menjejaskan aktiviti harian nelayan di sini, pencemaran tersebut mungkin merebak dan mengancam hidupan laut yang menjadi sumber pendapatan utama mereka.

CAP bimbang bukit yang ditarah di sini akan mengalami hakisan yang serius dan boleh menyebabkan berlaku tanah runtuh di kawasan itu.

Justeru, CAP berharap kajian menyeluruh turut dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi memastikan punca masalah ini dapat ditangani dengan berkesan dan tidak mencetuskan keadaan yang lebih buruk.

Selain membina banteng pencegah hakisan di kawasan terbabit, tindakan undang-undang yang tegas juga perlu diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berhubung kejadian ini.

CAP meminta pihak berkenaan mendedahkan hasil siasatan yang dibuat dan tindakan yang diambil  kepada orang ramai dengan secepat mungkin.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 17 Mei 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/