Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terperanjat sebaik melihat iklan Universiti LimKokWing bagi pengambilan pelajar Mei 2021 dalam portal berita atas talian cuma beberapa hari selepas dimaklumkan pentauliahan (akreditasi) MQA untuk 8 program pengajian mereka telah dibatalkan. Iklan terbabit menyebut pihak universiti mempunyai 1,000 biasiswa untuk diberikan kepada pelajar yang berkelayakan. Adakah ini sepatutnya menarik minat pelajar dan membuatkan mereka lupa mengenai isu pentauliahan MQA yang dibatalkan itu?
Pada awal bulan ini, dua wakil pelajar telah menyuarakan kebimbangan mengenai karier mereka di masa depan memandangkan program yang mereka, dan ramai yang lain, sertai tidak lagi mempunyai pentauliahan MQA. Wakil pelajar asing berkenaan turut menyatakan mereka berdepan masalah untuk membaharui visa pelajar mereka.
Sehubungan itu pihak universiti dengan segera tampil ke depan dan menegaskan mereka telah diberi tempoh 30 hari ekoran audit baru-baru ini untuk memperbetulkan masalah yang ada dan mengemukakan semula 8 program terbabit untuk pentauliahan MQA; dan mereka sudah berbuat demikian.
Namun begitu, pengumuman yang dibuat oleh pihak universiti ini tidak begitu meyakinkan. Wakil pelajar asing berkenaan ada menyebut ketika sidang akhbar bahawa pentauliahan bagi program yang disertainya telah dibatalkan pada 2019. Hakikat bahawa hanya sekarang pihak universiti cuba menangani masalah ini menjadikan tindakan mereka boleh dipersoalkan. Jika dakwaan universiti mengenai pengemukaan semula adalah benar, kita masih perlu bertanya kepada diri kita sendiri kenapa mereka mengambil masa yang begitu lama untuk menanganinya.
Kenapakah pentauliahan MQA untuk 8 program di Universiti LimKokWing itu dibatalkan? Terdapat satu artikel yang menyatakan mungkin universiti terbabit tidak mematuhi silibus yang ditetapkan atau mungkin mereka mengupah pensyarah yang tidak berkelayakan untuk mengajar subjek berkenaan. Dakwaan sebegini amat serius di mana Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE) perlu membuat penjelasan dan memaklumkan kepada orang ramai bagi membolehkan pelajar memeriksa jika mereka memohon untuk kursus yang ditauliahkan.
Berapa banyak universiti swasta lain di Malaysia yang menghadapi masalah pentauliahan yang sama? Universiti terbabit mungkin mengelirukan pelajar mereka dengan program yang ditauliahkan atau meneruskannya sahaja seolah-olah tidak timbul sebarang masalah jika pentauliahan dibatalkan.
Sehubungan perkara ini, pihak berkuasa perlu segera menjalankan siasatan demi memastikan kejadian sama tidak berulang di institusi swasta pengajian tinggi lain. Jika pentauliahan bagi satu program dibatalkan maka pihak berkuasa perlu memastikan pihak universiti bertanggungjawab dan menekan mereka untuk memperbetulkan masalah yang ada dengan serta merta agar pelajar yang mengikuti program-program ini tidak terjejas. Pihak berkuasa tidak seharusnya lupa bahawa ia mempertaruhkan karier dan mata pencarian pelajar di masa depan dalam situasi ini.
Pihak berkuasa mesti, sebelum meluluskan penubuhan universiti swasta, memperkenalkan syarat-syarat yang ketat mengenai kualiti kursus yang ditawarkan, kelayakan pensyarah dan memastikan yuran yang dikenakan adalah munasabah. Operasi universiti berkenaan perlu dipantau dengan teliti demi memastikan ia mematuhi syarat yang ditetapkan.
Kenyataan Akhbar/Surat kepada Pengarang,22 Mei 2021