Pastikan talian terus vaksinasi Covid-19 laju dan efektif

Pada 23 Mei 2021, pendaftaran kali kedua vaksinasi AstraZeneca pilihan bermula bagi warga emas berusia 60 ke atas yang menetap di Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Vaksinasi AstraZeneca secara sukarela ini kelihatan bertepatan dengan masanya (walaupun cuma terhad kepada mereka yang berusia 60 ke atas, pada ketika ini) memandangkan 23 Mei juga mencatatkan rekod kes Covid-19 baharu yang tertinggi setakat ini iaitu 6,976 kes. Kita juga melihat antara 40-50 kes kematian akibat Covid-19 hampir setiap hari sejak gelombang ketiga mula melanda Malaysia.

Mengutamakan golongan warga emas yang mungkin terjejas teruk akibat pelbagai penyakit yang dihidapi mereka adalah langkah yang tepat. Namun sebelum mereka boleh disuntik, terlebih dahulu mereka perlu mendaftar untuk menerima suntikan vaksin AstraZeneca; dan di sinilah timbul masalah bagi sesetengah orang.

Terdapat mereka yang berusia 60 ke atas yang telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan seawal Februari 2021 namun masih belum menerima tarikh untuk disuntik. Justeru mereka teruja untuk mendapatkan suntikan vaksin Astrazeneca pada kali ini tetapi mereka buta IT dan perlu mendapatkan bantuan seseorang mendaftar untuk mereka (harus diingat, ini adalah pendaftaran yang berasingan!). Kerajaan menggalakkan generasi muda untuk segera mendaftar bagi ahli keluarga mereka yang tua yang berhak mendapatkan suntikan tersebut sebagai satu cara untuk menangani masalah golongan buta IT.

Kerajaan seharusnya ingat bahawa menggunakan generasi “lebih muda” untuk mengatasi masalah buta IT sukar dilaksanakan dalam setiap keadaan. Sesetengah orang tidak mempunyai ahli keluarga yang muda untuk membantu mereka, ataupun mereka sememangnya tinggal bersendirian.

Bagi golongan warga emas ini, pilihan yang mereka ada adalah menghubungi talian terus Jawatankuasa Khas bagi Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk mendapatkan maklumat mengenai pilihan lain yang ada buat mereka. Sementara ini mungkin kelihatan mudah kerana semua orang tahu menggunakan telefon, tetapi proses itu mungkin rumit dan melelahkan.

Ketika membuat panggilan ke talian terus JKJAV, pemanggil akan dijawab oleh mesin atau pembantu auto dan sebaik sahaja pilihan yang perlu telah dipilih, mereka akan disambungkan ke senarai menunggu panggilan untuk bercakap dengan pegawai. Ada seorang pemanggil berkongsi pengalaman menunggu hampir setengah jam sebelum berpeluang bercakap dengan pegawai – beliau bernombor 33 dalam senarai ketika mula menunggu.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta pihak berkuasa memastikan sistem menjawab panggilan (mesin atau pembantu auto) beroperasi dengan laju dan efektif kerana ia sepatutnya merupakan talian terus. Sistem berkenaan seharusnya “mudah digunakan” agar warga emas yang hidup sebatang kara sekalipun boleh menangani sendiri hal-hal berkaitan vaksinasi Covid-19 mereka.

 

Surat kepada Pengarang, 27 Mei 2021