Siasat Projek Ternakan Udang di Juru  – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat dan memantau bagi memastikan pengusaha projek ternakan udang di Juru daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Pulau Pinang mematuhi peraturan yang telah ditetapkan ketika beroperasi.

Tindakan itu perlu dilakukan segera kerana CAP menerima aduan bahawa aktiviti tersebut telah menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar di kawasan berkenaan.

Tinjauan CAP di Sungai Belanak dan Sungai Haji Din di sini mendapati lebih kurang 200 nelayan pantai terjejas sumber pendapatan kerana kawasan tangkapan mereka disyaki tercemar oleh sisa buangan dari kolam ternakan udang berhampiran.

Kesan dari itu ikan, udang serta ketam yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan di sini terancam dan semakin berkurangan.

CAP bimbang kerana masalah ini bukan saja menjejaskan mata pencarian nelayan tetapi juga sumber perikanan dan hutan paya bakau pada masa akan datang jika ia dibiarkan berlarutan.

CAP meminta pihak berkenaan memberi perhatian utama ke atas sistem pembuangan sisa kolam yang dikhuatiri mengandungi bahan kimia serta keadaan saliran dan pintu air yang tidak diselenggara dengan baik agar ancaman pencemaran ini dapat di kawal dengan berkesan.

CAP berpendapat industri akuakultur perlu dihentikan di negara ini kerana ia bukan saja mengancam alam sekitar tetapi juga menjejaskan sumber perikanan dan menjejaskan mata pencarian nelayan pantai.

CAP berharap supaya Jabatan Perikanan membuat kajian khusus tentang kesan projek ini dan mendedahkan hasil yang diperolehi kepada orang ramai terutama golongan nelayan yang terkesan dengan aktiviti itu.

 

Kenyataan Akhbar/Media, 24 Mei 2021