Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) supaya bertindak bersama kerana penduduk Pulau Pinang sedang bersiap sedia bagi menghadapi ketiadaan air yang tidak dijangka kerana saluran paip pecah. Ia bukan sahaja bagi beberapa kejadian yang berlaku di Sungai Perai tetapi juga bagi paip pecah di kawasan perumahan.
Kami menggesa PBAPP untuk terlibat secara aktif dalam penyelenggaraan pencegahan dan bukannya bertindak terhadap paip pecah secara berperingkat-peringkat. Kebanyakan paip dan injap berusia lebih daripada 50 tahun dan adalah perlu untuk menukarnya tetapi dilakukan secara sistematik kerana air sebagai komoditi berharga tidak boleh dibiarkan bocor. Selain pembaziran air yang boleh diminum, ia juga boleh mengakibatkan hakisan tanah yang membawa kepada kemunculan lubang benam.
Purata jangka hayat sesalur dan paip agihan dianggarkan selama 40 tahun dan injap juga kira-kira jangka hayat yang sama. Oleh itu, jika sesalur dan paip agihan terpaksa ditukar, injap juga perlu ditukar pada masa yang sama atas sebab logistik seperti yang dilakukan PBAPP baru-baru ini.
Tidak ada gunanya pada ketika ini untuk menuding jari kepada sesiapa yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan untuk meletakkan saluran paip 1,350mm di dasar Sungai Perai tetapi ternyata ia adalah idea yang tidak baik dan ia harus dielakkan pada masa hadapan. Bagaimanapun, PBAPP telah mengumumkan bahawa paip baharu akan dibina di atas permukaan sungai.
Mempunyai saluran paip di bawah air mempunyai banyak keburukan (melainkan terdapat sebab yang lebih baik yang tidak diketahui oleh kita):
- Sukar untuk memantau keadaan saluran paip.
- Jika paip pecah (seperti kejadian baru-baru ini), pembaikan amat sukar dilakukan, kerana ia memerlukan peralatan khas dan kemahiran yang berbeza untuk mengendalikan kerja.
- Membalutnya dalam konkrit tidak melindunginya daripada kakisan air jika konkrit itu gagal.
Kami ingin mengulangi bahawa PBAPP, selain menukar saluran paip utama, perlu juga mempertimbangkan saluran paip pembahagian yang sudah tua. Ada kalanya penduduk taman perumahan mengadu tekanan air rendah ke rumah mereka disebabkan paip pecah di kawasan mereka. Usia dan keadaan sedia ada injap dan saluran paip mempunyai banyak perkara untuk diberitahu mengenai keperluan yang amat penting bagi PBAPP untuk terlibat secara aktif dalam penyelenggaraan pencegahan.
Saluran paip sedia ada perlu dipetakan dan diperiksa secara berkala bagi memastikan tiada kebocoran air. Paip yang bocor hendaklah diganti mengikut pelan.
Tarif air Pulau Pinang adalah yang paling rendah di seluruh negara tetapi pengguna tidak seharusnya membazir air hanya kerana ia berpatutan.
Pada 2021, setiap orang di Pulau Pinang menggunakan 305 liter air domestik setiap hari dan ia adalah kali pertama ia mencecah paras 300 liter per kapita sehari (LCD) sejak 1999. Ini hampir dua kali ganda daripada 158 liter air domestik yang digunakan setiap orang di Singapura setiap hari pada tahun yang sama.
Kami mencadangkan kepada PBAPP untuk memperkenalkan sistem penuaian air hujan kepada bangunan. Ketersediaan sistem seperti itu akan membantu mengurangkan penggunaan air isi rumah bagi tujuan umum serta mengurangkan bil air.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 2 Februari 2024