Mengelakkan penggunaan penyaman udara untuk menjimatkan tenaga boleh mendatangkan cabaran terutama dalam iklim panas, tetapi SMK Datuk Hj Mohamed Nor Ahmad di Bukit Gelugor, Pulau Pinang tidak membiarkan ia menghalang pihak sekolah untuk menyemai tabiat penjimatan tenaga dalam kalangan pelajar. Untuk mengoptimumkan kesihatan dan keselamatan, sekolah menggunakan pendekatan praktikal untuk mengimbangi kesejahteraan dan keperluan pelajar dengan penjagaan alam sekitar yang baik.
Penjimatan tenaga kini menjadi amalan harian di sekolah. Pelajar kini sangat menyedari hubungan antara penggunaan tenaga dan perubahan iklim. Bagaimanakah pihak sekolah menangani halangan dalam perjalanan mereka ke arah penjagaan alam sekitar? Mari kita dengar daripada guru sekolah mereka, dan Pengawas Tenaga bilik darjah.
“Pelajar kami belajar menggunakan alam semula jadi sebagai ruang pembelajaran” – GURU Law Yee Chen
Saya adalah Penyelaras bagi Projek Pendidikan bagi Pembangunan Lestari (ESD) di SMK Datuk Hj Mohamed Nor Ahmad. Kehadiran 100 ahli pasukan eko sekolah yang sedia ada memudahkan lagi tugas menyampaikan mesej penjimatan tenaga yang diperkenalkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kepada kami.
Memandangkan penyaman udara merupakan salah satu peralatan elektrik yang paling banyak menggunakan tenaga, kami mengambil tindakan untuk mengurangkan penggunaan penyaman udara. Walau bagaimanapun, terdapat banyak cabaran yang terlibat dalam hal ini. Dengan peningkatan suhu yang belum pernah terjadi sebelum ini, kami percaya bahawa penjimatan tenaga perlu seiring dengan penjagaan kesihatan. Dalam usaha untuk mengurangkan tenaga, sekolah kami telah memasang sepuluh penyaman udara baharu yang dilengkapi dengan lima hos. Ini tidak dapat dielakkan, kerana pentadbiran sekolah perlu mengutamakan kesejahteraan pelajar bagi memastikan tugas pengajaran dijalankan dengan lancar.
Pada masa ini, penggunaan dewan seminar kami juga meningkat kerana sekolah menganjurkan lebih banyak projek hasil kerjasama dengan pertubuhan lain. Ini adalah beberapa kekangan dalam usaha kami untuk mengurangkan tenaga.
Dalam usaha kami untuk menyejukkan bilik darjah secara semula jadi, “Projek kami sebelum ini ‘satu bilik darjah – satu pokok’ dinaiktaraf menjadi ‘satu bilik darjah – dua pokok’. Dengan cara ini, kami dapat menyampaikan mesej bahawa tumbuh-tumbuhan adalah penting untuk mengurangkan haba dan menyejukkan planet. Semua aktiviti eko kami berkembang dengan baik, dengan pelajar menyertai pertandingan antarabangsa dan mempelajari lebih lanjut mengenai kepentingan menyelamatkan bumi. Saya perhatikan bahawa apabila mereka muncul sebagai juara dalam pertandingan eko, semangat mereka semakin meningkat, dan mereka menjadi lebih yakin ketika melaksanakan tugas seperti menjimatkan tenaga.
Seboleh mungkin, saya mendedahkan pelajar kepada pembelajaran di ruang terbuka. Contohnya, untuk kelas seni, saya membawa mereka keluar dari bilik darjah menuju ke kawasan yang teduh. Dengan cara ini, pelajar bukan sahaja dapat mengelak daripada menggunakan lampu dan penyaman udara, tetapi juga belajar menggunakan alam semula jadi sebagai ruang pembelajaran. Untuk membolehkan pelajar memahami semua mesej penjimatan tenaga, para guru perlu terlebih dahulu menunjukkan teladan yang baik. Saya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada guru-guru lain. Mereka menggunakan perhimpunan pagi untuk menyampaikan panduan penjimatan tenaga kepada pelajar.
“Peranan sebagai Pengawas Tenaga memupuk kesedaran” – PELAJAR Tingkatan 5 Nur Farisha binti Mat Salleh & Nur Afifah binti Ahmad Najmi
Sebagai Pengawas Tenaga kelas yang dilantik, Nur Farisha binti Mat Salleh dan Nur Afifah binti Ahmad Najmi sentiasa berwaspada untuk memastikan matlamat sekolah untuk mengurangkan penggunaan tenaga tercapai.
Nur Afifah berkata, secara umumnya, pelajar-pelajar menyambut baik usaha untuk menjimatkan tenaga. “Pengawas Tenaga melekatkan kad di setiap suis elektrik dengan mesej untuk menutup suis apabila tidak digunakan. Dengan cara ini, para pelajar akan sentiasa peka. Namun begitu, sesetengah pelajar merasakan bahawa ini adalah isu kecil. Apabila berurusan dengan mereka, saya tiada pilihan lain kecuali memaksa dan memberi amaran supaya mereka mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh sekolah.
Penglibatan saya dalam projek penjimatan tenaga, terutamanya tugasan harian untuk memastikan pelajar mematuhi peraturan, menjadikan saya kini lebih sedar akan kepentingan untuk menjimatkan tenaga dan hubungan dengan alam sekitar. Dahulu di rumah, setiap kali ibu saya meminta saya menutup suis lampu, saya tidak akan mengambilnya secara serius. Sekarang, saya melakukannya sebelum ibu mengarahkan saya berbuat demikian. Sebagai anak sulung dalam keluarga, saya memikul tanggungjawab untuk membimbing adik-beradik saya supaya turut melakukan perkara yang sama.”
Nur Farisha juga kini lebih peka dengan tenaga dan sedar mengenai alam sekitar dengan berfikir beberapa kali sebelum menggunakan sebarang peralatan elektrik. Dia bertekad untuk menjimatkan elektrik bukan sahaja di sekolah, tetapi juga di mana sahaja dia berada. Dia menggalakkan orang di sekelilingnya untuk komited dalam menjimatkan tenaga.