Menjimatkan Tenaga dengan Mengurangkan Penggunaan Elektrik

Sepanduk mengumumkan ceramah CAP mengenai penjimatan tenaga di sekolah.

SMK Convent Bukit Mertajam yang mengambil bahagian dalam projek penjimatan tenaga CAP, mengamalkan pendekatan yang mudah dan praktikal untuk menjimatkan tenaga. Sekolah ini menggunakan penyaman udara yang cekap tenaga dan mengehadkan penggunaannya, serta penggunaan lampu dan kipas. Pengawas Tenaga yang dilantik memastikan pematuhan peraturan ini. Selain mengurangkan jejak karbon, tindakan mudah ini menggembirakan sekolah kerana ia membantu mengurangkan bil elektrik.

“Mengurangkan penggunaan penyaman udara mengurangkan bil elektrik sekolah” – GURU Nor Mazilla binti Mohamad Pauzi

Bil elektrik di sekolah kami yang agak tinggi, membuatkan guru-guru terkejut. Oleh sebab itu, apabila CAP bercadang untuk memperkenalkan langkah penjimatan tenaga kepada pelajar, kami lebih daripada teruja. Setakat ini, kami menguruskannya dengan baik. Pengawas Tenaga semuanya bersedia untuk memantau bilik darjah semasa rehat, sebelum pembelajaran bermula, semasa perhimpunan, atau apabila tiada sesiapa di dalam bilik darjah, mereka akan memastikan tiada kipas atau lampu dihidupkan.

Selepas program ceramah mengenai penjimatan tenaga, telah terakam dalam fikiran kami bahawa penyaman udara menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik, dan kini kami boleh mengaitkannya dengan bil elektrik yang terlalu tinggi di sekolah. Sejak itu, kami mencuba semua cara yang boleh untuk menggunakan penyaman udara dengan cekap. Penyaman udara akan dihidupkan hanya selepas waktu rehat, dan kami juga menetapkan suhu ke tahap yang lebih menjimatkan.

Poster kurangkan penggunaan elektrik oleh  pihak sekolah bagi menggesa pelajar dan guru mengamalkannya.

Baru-baru ini, guru besar kami menukar penyaman udara lama dengan yang baharu. Kami juga mengehadkan bilangan penyaman udara yang digunakan pada satu-satu masa di dalam dewan sekolah. Selepas memasang penyaman udara baharu dengan ciri penjimatan tenaga, bil elektrik kami untuk bulan ini (Julai 2024) telah berkurangan. Ini adalah beberapa langkah penjimatan tenaga yang telah kami ambil di sekolah.

“Lampu di bilik darjah akan ditutup pada jam 8.30 pagi” – PELAJAR Tingkatan 5 Khairul Intan Najwa

Selepas sekolah kami menganjurkan program penjimatan elektrik, pelajar mendapat pengetahuan yang lebih mendalam mengenainya. Selepas itu, semua perhimpunan pada hari Isnin memberikan tumpuan kepada penekanan bagi penjimatan tenaga dalam kalangan pelajar. Lampu bilik darjah ditutup pada pukul 8.30 pagi, memandangkan ketika itu bilik darjah sudah pun terang.

Langkah penjimatan tenaga juga diterapkan kepada guru. Mereka menghidupkan penyaman udara di bilik guru hanya selepas jam 10 pagi. Guru-guru melantik kami sebagai Pengawas Tenaga untuk memastikan kami semua mematuhi peraturan bagi mencapai matlamat mengurangkan tenaga elektrik di sekolah. Dengan pelantikan sebagai Pengawas Tenaga, saya berasa lebih bertanggungjawab dan mengembangkan disiplin untuk menjalankan tugas

Pelajar mengambil bahagian secara aktif dalam ceramah CAP.

Apabila saya memberitahu ibu bapa  bahawa saya telah dilantik sebagai Pengawas Tenaga, mereka sangat gembira. Mereka membimbing saya untuk mengumpulkan lebih banyak maklumat mengenai penjimatan tenaga, kerana mereka percaya saya boleh melaksanakan tugas saya sebagai Pengawas Tenaga dengan baik dengan pengetahuan sedemikian.

Pelantikan Pengawas Tenaga penting untuk memberikan kesan – PELAJAR Tingkatan 4 Yogamalar a/p Kumaran 

Apabila guru sentiasa mengingatkan kami untuk menutup lampu dan kipas apabila tiada sesiapa di dalam bilik darjah, kami tidak pernah mengambil serius. Tetapi semuanya berubah selepas program ceramah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Terdapat banyak lagi perkara untuk menjimatkan tenaga yang membuatkan saya sedar betapa pentingnya ia dalam kehidupan seharian kita.

Suatu ketika, saya melalui dewan perhimpunan. Walaupun tiada sesiapa di dalam dewan, lampu menyala, dan kipas berpusing dengan kelajuan penuh. Walaupun saya perasan, tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk mematikannya. Guru kami yang kebetulan lalu menegur saya kerana sikap acuh tak acuh saya. Perkara ini menjentik hati nurani saya dan kemudian, saya mula mengambil tanggungjawab untuk menjimatkan elektrik di sekolah.

Daripada CAP kepada sekolah: Panduan berguna penjimatan tenaga untuk memacu perubahan.

Pada waktu pagi, saya sering berbual dengan pekerja am di sekolah. Mereka memberitahu saya bahawa dalam banyak keadaan, mereka telah meminta pelajar mematikan lampu dan kipas apabila meninggalkan dewan, tetapi selalunya nasihat mereka tidak didengari.

Selepas beberapa orang daripada kami ditugaskan sebagai Pengawas Tenaga, kami mula melaksanakan peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah untuk menjimatkan tenaga. Pada mulanya, saya berasa janggal dengan istilah “Pengawas Tenaga”. Kemudian, dengan penjelasan guru, saya menyedari bahawa jika seseorang mengarahkan pelajar untuk menjimatkan elektrik, mereka mungkin tidak mengikut arahan kami. Walau bagaimanapun, lencana Pengawas Tenaga, yang disertakan dengan pengiktirafan dan kuasa untuk menjalankan tugas kami, memastikan pematuhan pelajar lain.

Bagi pelajar yang masih enggan memberikan kerjasama, kami akan menulis laporan kepada guru. Selepas menjadi Pengawas Tenaga, saya telah menghentikan pembaziran tenaga yang tidak perlu.