PENGGUNA DITIPU OLEH ALAT TIMBANGAN YANG TIDAK TEPAT

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan terhadap peniaga pasar basah yang menggunakan alat penimbang mekanikal yang tidak tepat (dengan penunjuk dail pada kedua-dua belah mesin) untuk mengurangkan timbangan pengguna.

Tinjauan kami baru-baru ini di semua pasar basah di Pulau Pinang menunjukkan bahawa beberapa alat penimbang mempunyai pelekat penentukurannya dipamerkan jauh daripada pengguna. Malah pelekat penentukuran itu perlu dapat dilihat oleh pengguna supaya mereka terjamin dengan ketepatan alat penimbang itu dan jika ia sesuai untuk digunakan dalam perniagaan. Mereka yang menggunakan alat penimbang yang tidak ditentukur adalah  melanggar Akta Timbang dan Sukat 1972.

Di bawah Undang-undang, peniaga perlu menghantar alat penimbang berat mereka untuk penentukuran semula setiap tahun. Kementerian perlu mempertimbangkan dengan serius untuk mencetak tahun penentukuran dalam tulisan tebal dan besar pada pelekat penentukuran untuk memudahkan pengguna membacanya.

Peniaga perlu diingatkan supaya bahagian tepi alat penimbang dengan pelekat penentukuran dipamerkan dengan jelas, menghadap pengguna.

Baru-baru ini KPDNKK telah mengambil tindakan terhadap peniaga di Kota Bharu kerana menggunakan alat penimbang yang rosak.

Pihak Kementerian juga perlu memastikan setiap pasar mempunyai dua alat penimbang awam (satu daripadanya untuk barangan halal) bagi pengguna mengesahkan berat barangan mereka jika mereka mempunyai sebarang keraguan. Nombor perhubungan juga perlu disediakan di tempat alat penimbang untuk orang awam berada supaya pengguna boleh menghubungi jika mereka mempunyai sebarang aduan seperti kekurangan berat, kenaikan harga barangan keperluan atau amalan perniagaan yang tidak sihat.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 19 Mac 2024