Pengguna Perlukan Maklumat Tepat Daripada Kerajaan Bagi Mengelakkan Kebimbangan Yang Tidak Perlu

Kerajaan perlu mengambil tindakan bersama berhubung kekeliruan dalam isu subsidi minyak masak sawit, ayam dan telur. Satu contoh yang sangat jelas ialah pengumuman yang dilaporkan dalam media pada 23 Jun 2022 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan bahawa subsidi minyak masak dalam botol 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg akan dihentikan mulai 1 Julai.

Bagaimanapun, pada hari yang sama media melaporkan bahawa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin yang menyatakan bahawa kerajaan tidak menamatkan subsidi bagi minyak masak sawit selepas 1 Julai tetapi kembali kepada mekanisme harga asal sebelum pandemik Covid-19.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hairan mengapa terdapat dua pengumuman yang bercanggah mengenai topik yang sama yang menjadi kebimbangan serius pada hari yang sama di dalam media. Lebih-lebih lagi, mengapa berlaku pusingan U secara tiba-tiba selepas  pengumuman pada 21 Jun mengenai penghapusan subsidi di dalam media selama dua hari, yang menyebabkan kebimbangan yang tidak wajar dalam kalangan pengguna. Pengumuman sedemikian menyebabkan beberapa pasar raya mencatu minyak masak, kerana bimbang akan  pembelian panik.

Pengumuman sebegini boleh mencetuskan pembelian panik yang merupakan perkara yang perlu dielakkan oleh kerajaan dan pengguna.

Jika kerajaan mendengar kata-kata pengguna seperti yang didakwa, ia sepatutnya melakukan kajian dan membuat keputusan sebelum mengumumkan pemansuhan subsidi.

Ini menunjukkan bahawa terdapatnya kekurangan penyelarasan dalam kalangan Kementerian atau mereka tidak diberikan taklimat dengan betul, menyebabkan Datuk Zuraida Kamaruddin cuba menjelaskan pada 24 Jun bahawa “terdapat beberapa salah faham mengenai isu itu”. Jika terdapat salah faham, kenapa kerajaan bersusah payah menjelaskan bahawa minyak masak dalam botol mudah diseludup hanya dua hari sebelum ini?

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut berwaspada terhadap situasi itu, dengan menjangkakan kemungkinan pencatutan oleh peniaga.

Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan untuk melantik jurucakap yang membuat semua pengumuman selepas pertimbangan yang teliti untuk mengurangkan atau menghapuskan semua kemungkinan kenyataan bercanggah yang menyebabkan kekeliruan yang tidak sepatutnya. Pendekatan sedemikian akan membantu mengurangkan kebimbangan atau menyebabkan panik dalam kalangan pengguna.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 30 Jun 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/